Tuesday 10 July 2018

BUAH TARAP MENJADI REBUTAN

Di Sabah, buah tempatan paling popular ialah buah tarap atau dipanggil juga buah lumuk, buah timadang, buah madang, buah pingan dan buah marang di kalangan penduduk di Borneo. 

Pokok tarap tumbuh subur di kawasan beriklim tropika dan mudah didapati di Borneo, termasuk Sabah. Ia berbentuk bulat an beratnya bolah sampai satu kilogram. 

Kebiasaannya buah yang masih muda mempunyai kulit berwarna hijau pekat, manakala buah yang sudah masak pula mempunyai kulit berwarna hijau kekuningan.

Buah tarap yang sudah masak sangat mudah dikopek untuk diambil isinya. Sekali pandang, bentuk luaran buah ini seperti cempedak dan nangka, tetapi bentuknya lebih bulat. 

Isi buah tarap pula berwarna putih susu. Mereka yang mahu makan buah tarap hanya perlu menggunakan tangan untuk membelah kulit atau mengopeknya dan mendapatkan isinya.

Jika dahulu, buah tarap mudah didapati dan kebiasaannya dijual oleh penduduk kampung pada harga yang murah. Namun disebabkan permintaan yang tinggi, buah tarap kini ada yang dijual melebihi RM20 sebiji. Harga biasa sebiji antara RM5 hingga RM10. Buah tarap banyak didapati bermula Disember sehingga Febuari. 

Selain rasa manis apabila masak, buah tarap yang mentah juga boleh dipotong kecil-kecil untuk dimasak sebagai sup sayur yang dicampur ikan masin atau daging lain. 

Selain itu, buah tarap yang masak boleh dicampur dengan adunan tepung untuk dijadikan kuih. Biji tarap juga boleh dimakan jika dimasak. 

Mudah kata, kepada mereka tidak pernah melihat buah dan merasai buah tarap, ia bolehlah disamakan dengan buah cempedak dan nangka, walaupun jauh berbeza.

Sebenarnya, pokok tarap juga terdapat di Semenanjung. Namun dipanggil pokok terap. Kulit batang terap boleh diproses dijadikan tali. Di Kedah terdapat daerah dinamakan Padang Terap. 

Tetapi terap di Semenanjung tidak terkenal kerana buahnya kecil dan isi juga amat kecil. Jadi, buah terap di Semenanjung tidak boleh atau tidak sesuai dimakan.

No comments:

Post a Comment