Friday 13 July 2018

KHASIAT KULIT BUAH TEMBIKAI

Perlu makan tembikai atau timun cina bersama kulit bahagian dalam berwarna putih untuk mendapat kebaikan khasiat yang tersimpan pada bahagian kulit putih. Biasanya kita tidak makan bahagian putih kulit tembikai kerana rasanya tawar. 

Sebab itu, semasa membuat jurai tembikai, bahagian kulit putih akan dibuang. Hanya bahagian berwarna merah atau kuning (tembikai kuning) sahaja yang akan diambil untuk dihidangkan. Begitu juga, kalau jurai bersama kulit, semasa dimakan, hanya bahagian merah yang dimakan.

Bahagian kulit yang berwarna putih pada tembikai mengandungi likopen yang merupakan antioksidan yang mampu merawat masalah kulit. Pada kulit tembikai juga kaya kandungan vitamin C dan vitamin B6.

Kulit tembikai juga mempunyai khasiat untuk memperlancar aliran darah yang boleh menghalang masalah pada fungsi kardiovaskular seperti tanda-tanda penyakit jantung. 

Selain itu kulit tembikai dapat menangani gejala hipertensi, mengatasi jangkitan pundi kencing sehingga mengatasi gejala anemia.

Terdapat cara mudah memanfaatkan kulit tembikai. Pertamanya dengan memakan terus bahagian kulit tembikai bersama isi berwarna merah. Ketika potong tembikai, hanya buang kulit luar berwarna hijau. Biarkan kulit tembikai putih bersama-sama isi berwarna merah. 

Ketika makan, mula makan bahagian putih kerana ia rasa tawar dan diikuti bahagian isi berwarna merah. Dengan cara itu, anda akan mengimbangi rasa tawar yang dimakan pada mulanya.

Cara kedua ialah dengan membuat jus tembikai dengan mengisar kedua-duanya sekali. Kedua-duanya sebati menjadi jus. Rasanya lebih enak.  

Cara ketiga ialah mengasingkan bahagian kulit putih itu dan kemudian boleh dijadikan 'sayur' untuk dibuat acar dan sebagainya.

Satu lagi kaedah memanfaatkan bahagian kulit tembikai berwarna putih ialah dengan mengisar bahagian kulit yang berwarna putih itu kemudian sapukan di seluruh wajah seperti menggunakan mask. 

Biarkan bahan tersebut selama 10-15 minit kemudian bilas dengan air dingin sehingga bersih. Kaedah ini untuk mengatasi masalah jerawat dan memberi kesegaran bahagian muka.

No comments:

Post a Comment