Sunday 3 June 2018

PEMBELI RELA BERI PENIAGA DAPAT UNTUNG

Peniaga memang memerlukan untung di atas khidmat yang disediakan. Malah pembeli rela memberi keuntungan kepada peniaga sebagai satu hubungan yang saling memberi kebaikan antara peniaga dan pembeli. Peniaga mendapat keuntungan di atas usaha dilakukan dan pembeli mendapat barang atau perkhidmatan disediakan oleh peniaga. 

Hal ini bermakna dari segi pembentukan hubungan, kedua-dua pihak saling memerlukan. Tiada peniaga tanpa pembeli dan tiada pembeli tanpa peniaga.  Dalam hubungan ini wujud satu ikatan menjaga kepentingan pihak yang satu lagi, selain untuk kepentingan sendiri.

Ikatan ini penting bagi menjamin hubungan yang saling memberi keuntungan itu berterusan dalam suasana harmoni. Ikatan ini disebut juga kontrak sosial atau satu perjanjian tidak bertulis yang wujud di antara kedua-dua pihak. Setiap pihak yang mengikat ‘perjanjian’ ini mesti mematuhinya. 

Sekiranya mana-mana pihak tidak mematuhinya, bermakna wujud kepincangan masyarakat dan wujudlah perasaan dendam, marah dan irihati. Hal ini jika berleluasa memberi kesan buruk kepada masyarakat keseluruhannya.   

Kerajaan terpaksa mengadakan kempen dan penguatkuasaan undang-undang untuk memastikan pembeli dan pengguna mendapat hak, perlindungan dan layanan sepatutnya. Namun, banyak peniaga masih ingkar dan sungguh berdepan dengan hukuman melanggar peraturan. Hakikatnya, banyak peniaga tidak pernah lekang mencari muslihat untuk mendapat keuntungan lebih.   

Dalam urusan perniagaan, Islam mementingkan sikap jujur dan ikhlas. Peniaga dijanjikan keuntungan yang halal melalui urusan perniagaan sebagai menggantikan riba yang semata-mata bersifat penindasan dan kemusnahan.   Islam amat mementingkan kesejahteraan dan usaha memakmurkan hidup di dunia ini. Sesungguhnya manusia dicipta oleh Allah untuk menjadi khalifah di muka bumi dan menjalankan kehidupan mengikut ketetapan syariat, termasuklah dalam soal perniagaan.    

Perniagaan adalah cara halal membolehkan manusia menikmati kebaikan, memenuhi keperluan hidup dan saling membantu. Allah memerintahkan manusia saling membantu dalam soal kebaikan dan mencegah melakukan kemungkaran. Hasil keuntungan perniagaan tidak sama dengan keuntungan daripada perbuatan berbentuk riba.

Firman Allah bermaksud: “Mereka yang makan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan. Keadaan demikian berlaku kerana mereka mengatakan berniaga itu sama dengan riba, sedangkan Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba.” - (Surah al-Baqarah, ayat 275).

Pun begitu, perniagaan yang dijalankan tanpa mengikut syariat juga termasuk dalam perbuatan haram. Riba wujud dalam perniagaan yang berlaku penindasan dan penipuan. Keuntungan yang bukan hak peniaga (diperoleh secara penindasan, penipuan dan tidak jujur) dianggap sebagai riba, biarpun ia dijalankan seperti perniagaan.

No comments:

Post a Comment