Sunday 3 June 2018

MENGAPA HARGA BARANG TINGGI MUSIM PERAYAAN

Pada musim perayaan permintaan terhadap barang keperluan meningkat berlipat ganda berbanding masa lain. Hal ini bermakna peniaga berpeluang mendapat untung besar. Sebab itu, pada musim perayaan banyak orang menjadi peniaga sementara untuk merebut peluang itu. Peluang mendapat keuntungan lebih bermusim ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh peniaga.

Namun, terdapat peniaga yang tamak ingin mendapat keuntungan yang lebih lumayan sehingga sungguh melanggar etika sebagai peniaga. Tindakan salah paling ketara dilakukan peniaga pada musim perayaan ialah menaikkan harga barang dan perkhidmatan, tanpa alasan munasabah. 

Pelbagai masalah dan kerenah ditimbulkan banyak peniaga pada musim perayaan, sekaligus memperlihatkan sikap tamak mereka. Mereka tidak bersyukur dengan rezeki lebih berbanding biasa, sebaliknya mengambil kesempatan melakukan perbuatan tidak bertanggungjawag. Sifat tidak bersyukur banyak keburukannya. Sebaliknya, Allah akan menambahkan nikmat dan rahmatnya kepada sesiapa yang bersyukur. 

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” - (Surah Ibrahim, ayat 7).

Sikap peniaga itu memperlihatkan sikap mementingkan diri. Tindakan yang dilakukan itu menyalahi etika kontrek sosial yang sedia terjalin antara peniaga dan pengguna. Hal itu secara langsung merosakkan hubungan, kepercayaan, rasa hormat dan keharmonian urusniaga.

Disebabkan banyak peniaga bertindak demikian, pengguna dibayangi perasaan tidak mempercayai kejujuran peniaga. Untuk mendapat harga dan perkhidmatan terbaik, pengguna terpaksa membuat pilihan antara satu peniaga dengan peniaga lain. Namun, pengguna tiada pilihan melainkan terpaksa membeli atau menggunakan perkhidmatan yang diperlukan, walaupun menyedari ada unsur penindasan.     

Tindakan peniaga tidak bertanggungjawab, satu amalan bertentangan dengan tuntuan agama dan juga hubungan sesama manusia. Dalam amalan perniagaan ia disebut manipulasi harga atau tindakan memperdaya pembeli atas kesempatan keadaan yang mana pembeli ‘terpaksa’ membeli biarpun diketahui harga telah naik.

Penindasan tidak dibenarkan dalam apatah lagi wajud unsur penipuan. Peniga menaikkan harga dengan alasan harga modal meningkat. Sedangkan hakikat sebenar peniaga meningkatkan margin keuntungan mengambil kesempatan musim perayaan.

Peniaga memang memerlukan untung di atas khidmat yang disediakan. Malah pembeli rela memberi keuntungan kepada peniaga sebagai satu hubungan yang saling memberi kebaikan antara peniaga dan pembeli. Peniaga mendapat keuntungan di atas usaha dilakukan dan pembeli mendapat barang atau perkhidmatan disediakan oleh peniaga. 

Margin keuntungan sepatutnya sama sepanjang masa. Peniaga tetap akan mendapat untung besar berniaga pada musim perayaan kerana pemintaan meningkat tanpa perlu meningkatkan margin untung.

No comments:

Post a Comment