Sunday 3 June 2018

PENIAGA JUJUR MENDAPAT BERKAT

Islam menetapkan syarat urusniaga perlu dijalankan dengan tawar menawar, jujur dan jelas. Segala berkaitan barang atau perkhidmatan mesti dijelaskan oleh peniaga tanpa menyembunyikan kecacatan, mutu dan harga berpatutan. Peniaga demikian dijamin mendapat keberkatan.  

Sabda Rasulullah bermaksud: “Jual beli dilakukan dengan tawar menawar, jika kedua-duanya jujur dan nyata, maka mereka diberkati, tetapi jika kedua-duanya dusta dan merahsiakan, maka keberkatannya akan terhapus.”  (Hadis riwayat Abu Daud).

Penindasan harga dan penipuan berkaitan barang merupakan jenayah dalam perniagaan dan termasuk dalam kategori riba. Peniaga sedemikian mungkin terlepas tindakan undang-undang kerajaan, tetapi tidak akan terlepas pembalasan Allah. 

Sesiapa mengamalkan riba meletakkan diri dalam kutukan Allah. Allah meletakkan orang memakan riba sebagai golongan mendapat kerugian dunia dan akhirat. Mereka merasakan mendapat keuntungan, sedangkan keuntungan daripada hasil riba itu telah ditarik oleh Allah tanpa mereka sedari.

Firman Allah dalam ayat ke 276 surah al-Baqarah bermaksud: “Allah akan menghapuskan keberkatan riba dan Allah akan menambahkan keberkatan sedekah.  Allah tidak suka kepada orang yang tetap dalam kekafiran dan selalu berbuat dosa.”

Peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga pada musim perayaan telah mengkhianati kontrak sosial dan hukum Allah. Untuk mengelak berlaku penindasan, Islam menetapkan syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh peniaga dan pembeli. Syarat paling penting dalam urusniaga ialah suka sama suka atas tujuan saling mendapat kebaikannya.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan sama suka di antara kamu.” - (Surah an-Nisa, ayat 29).

Tuntutan berlaku adil dalam perniagaan amat penting ditunaikan. Justeru, sebagai balasan bagi peniaga melakukan perniagaan seperti dituntut syariat Islam, maka diberi keuntungan dalam usahanya dan dibalas syurga bersama-sama golongan terpilih.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Peniaga yang jujur akan bersama-sama para nabi, siddiqin dan golongan mati syahid.” - (Hadis riwayat Tarmizi dan Hakim).

Balasan istimewa itu membuktikan soal jujur dalam menjalankan perniagaan bukan perkara kecil. Islam amat mementingkan adab dalam perniagaan kerana ia merupakan antara muamalat terpenting. Perniagaan adalah nadi kehidupan manusia. 

Ketika Rasulullah mula berhijrah di Madinah, dua tempat mula-mula dibina ialah masjid dan pasar. Masjid sebagai tempat ibadat dan pentadbiran, sedangkan pasar tempat menemukan peniaga dan pembeli untuk memenuhi keperluan masing-masing.  

No comments:

Post a Comment