Kawat atau kawad kaki adalah pergerakan yang serentak
dan berirama yang biasa dilakukan oleh pasukan beruniform. Untuk membentuk kemahiran
pergerakan serentak mengikut tempo yang sama, latihan kawat kaki dilakukan berulang
kali.
Biarpun nampak mudah, hakikatnya berkawat memerlukan
kemahiran tinggi. Daya tumpuan dan minat yang tinggi diperlukan bagi memastikan
pergerakan berkawad dapat dilakukan serentak biarpun melibatkan ramai peserta.
Selain pasukan beruniform yang dipakai sebagai
kerjaya, terdapat pelajar sekolah juga memakain pakaian uniform dan terlibat dengan
latihan berkawad.
Pada masa kini terdapat tiga kumpulan pasukan
uniform di sekolah iaitu yang dinaungi oleh Kementerian Pelajaran Malaysia,
badan atau pasukan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan atau NGO.
Falsafah berkawad atau kawat ialah melatih
setiap anggota supaya bermegah dengan tatatertib, taat setia dan berkerjasama.
Ciri-ciri itu menjadi lambang kemegahan dan keistimewaan pasukan beruniform
berbanding jabatan lain.
Taat setia. Ciri taat setia lahir
berdasarkan hakikat bahawa setiap anggota dikehendaki mengikut setiap arahan
yang diberi oleh ketua perbarisan. Tiada bantahan atau pengecualian terhadap
setiap arahan yang diberikan. Mereka perlu melakukan apa diarahkan dengan
bersungguh-sungguh supaya mutu kawat berada di tahap terbaik.
Bermegah dengan tatatertib. Erti
bermegah dengan tatatertib ialah patuh kepada peraturan yang
ditetapkan. Pasukan beruniform amat mementingkan soal mematuhi peraturan
kerja yang ditetapkan.
Memakai uniform termasuklah dalam tatatertib.
Setiap anggota perlu berpakaian kemas dan mengikuti peraturan pemakaian.
Pemakaian menjadi identiti pasukan dan tahap disiplin dapat dilihat cara mana
anggota berpakaian.
Setiap uniform tidak boleh dipakai sesuka
hati. Setiap uniform telah ditetapkan seperti bentuk pakaian, ukuran, warna,
jenis fabrik, alat tambahan dipakai bersama-sama dan beberapa ciri lain. Semua
anggota memakai bentuk uniform yang sama, kecuali perbezaan berkaitan dengan
pangkat.
Justeru, beruniform merupakan identiti
terpenting pasukan. Kita dapat mengenali pasukan berdasarkan corak atau
warna uniform. Di negara kita tidak terdapat pasukan yang sama uniform
mereka.
Kerjasama. Nilai kerjasama yang
dapat dilihat apabila setiap anggota dapat melakukan semua pergerakan
bersama-sama. Tidak ada seorang anggotapun dikecualikan melakukan pergerakan
kawat yang diarahkan.
Kejayaan dan kekemasan kumpulan kawat
bergantung kepada semua anggota. Jika ada anggota gagal melakukan pergerakan
kawat, maka cacatlah keseluruhan kumpulan itu. Sebab itu seluruh anggota
perlu menampilkan semangat kerjasama yang tinggi.
Falsafah kawat ini tentulah tidak setakat
ketika berkawat. Perkara yang sama perlu diterjemahkan dalam aktiviti
lain, terutama ketika menjalankan tugas masing-masing.
Sebab itu, kita dapat lihat anggota pasukan
beruniform mempamerkan mutu disiplin yang tinggi. Mereka sanggup melakukan
tugas-tugas yang mencabar yang dilihat sukar dilakukan oleh orang biasa.
Berdasarkan itu, berkawat wajar dijadikan
sebahagian daripada kaedah untuk mendidik disiplin pelajar. Diperhatikan
pelajar yang menyertai pasukan beruniform dan aktif berkawat menampakkan
ciri-ciri bermegah dengan tatatertib, cergas, taat setia dan kerjasama yang
tinggi.
Kementerian Pelajaran wajar menjadikan
pertandingan kawat kaki antara pasukan beruniform di sekolah sebagai antara
acara kemuncak tahunan. Ia juga patut dipertandingkan di antara sekolah, daerah
dan negeri.
Pertandingan yang dianjurkan di peringkat
kebangsaan akan meningkatkan semangat anggota untuk menjalani latihan kawat
secara bersungguh-sungguh. Mewakili negeri dalam sesuatu pertandingan adalah
satu kebanggan kepada setiap pelajar.
Sebelum terpilih mewakili negeri,
pertandingan peringkat sekolah, daerah dan negeri diadakan. Pertandingan
ini melibatkan beribu-ribu orang pelajar di setiap negeri.
No comments:
Post a Comment