Tuesday 9 May 2023

KELEBIHAN SURAH AL-MULK

 
Surah al-Mulk mempunyai 30 puluh ayat dan diturunkan di Mekah kepada Rasulullah SAW pada sekitar tahun ke-3 atau 4 kenabian. Surah ini termasuk dalam surah atau ayat Makiyyah.
 
Ayat atau surah Makiyyah ialah istilah yang diberikan kepada ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Makkah atau kawasan sekitarnya atau diturunkan sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah iaitu ayat yang diturunkan sebelum 1H.
 
Surah Makiyyah bersifat seruan kepada mengabdikan diri dan kepercayaan kepada Allah.
 
Ia dinamakan “al-Mulk” dan diambil dari ayat surah al-Mulk yang bermaksud kerajaan atau kekuasaan. Nama lain bagi al-Mulk adalah Tabaraka yang bermaksud Maha Suci.
Selain itu, ia juga dikenali dengan nama Al-Maniah (Penghalang) dan Al-Munjiah (Penyelamat).
 
Terdapat banyak hikmah dan fadhilat jika selalu mengamalkan surah ini di dalam kehidupan.
 
Mudah Masuk Syurga
Fadhilat pertama yang dinikmati oleh mereka yang mengamalkan surah al-Mulk adalah mereka mudah masuk syurga. Ini boleh dilihat di sebuah hadis di mana Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah Al Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam syurga.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
 
Melindungi Dari Azab Kubur
Bagi mereka yang membaca surah al-Mulk sebelum tidur, mereka akan terhindar dari azab kubur. Ini diceritakan di dalam sebuah hadis di mana An-Nasai meriwayatkan dari Ibnu Masud bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa membaca surah al-Mulk setiap malam maka Allah mencegahnya daripada azab kubur.”
 
Dilindungi Malaikat Waktu Tidur
Kelebihan seterusnya bagi mereka yang mengamalkan surah al-Mulk pada waktu malam adalah mereka akan dilindungi oleh satu malaikat ketika tidur. Abdullah Ibnu Abbas menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Aku telah menemukan di dalam Al-Quran sebuah surah tiga puluh ayat, barangsiapa membacanya sebelum tidur; tiga puluh perbuatan baik ditulis untuknya, tiga puluh kesalahan dihilangkan sehingga tiga puluh darjah. Allah SWT menghantar malaikat untuk melebarkan sayapnya ke atasnya dan melindungi dia dari segala-galanya sehingga dia bangun.“
 
Dikeluarkan Neraka
Fadhilat seterusnya adalah akan dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Rasulullah SAW bersabda: “Ada surah di dalam kitab Allah itu hanya tiga puluh ayat yang memberi syafaat kepada seseorang pada hari Pengadilan sehingga dia dikeluarkan dari api dan masuk ke dalam syurga; itu adalah rahmat dari sebuah surah.”
(Hadis riwayat Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibnu Majah)
 
Diampunkan Dosa
Mereka yang selalu membaca al-Mulk, Allah SWT akan mengampunkan segala dosa mereka. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebahagian daripada al-Quran ada satu surah yang jumlah ayatnya tiga puluh ayat semuanya, surah ini dapat memberikan pertolongan kepada orang yang membacanya sehingga diampunkan segala dosa-dosanya, surah itu ialah “al-Mulk”.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
 
Keimanan dan Ketakwaan Meningkat
Anda juga disarankan untuk selalu membaca surah al-Mulk dalam kehidupan anda kerana mengingatkan kita tentang azab jika  melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
Jika kita selalu membaca dan mendengar surah ini, ia secara tidak langsung akan meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Berkata Abdullah Ibnu Abbas: “Aku berharap agar surah ini berada di hati setiap orang yang beriman.“
 
Intisari kandungan surah Al Mulk menegaskan bahawa Allah SWT telah mentakdirkan adanya mati dan hidup makhluk-makhluk-Nya untuk menguji dan menzahirkan keadaan mereka. Siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.

Seluruh alam yang diciptakan-Nya itu, amatlah rapi dan tidak ada sebarang cacatnya.
Kemudian digambarkan peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat dan balasan buruk yang sangat-sangat menggerunkan, yang disediakan bagi orang- orang yang kufur ingkar.
 
Sebaliknya, disebutkan bahawa orang-orang yang takut melanggar hukum Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.

No comments:

Post a Comment