Saturday 20 November 2021

Padi IS21 hasil kajian biak baka mutasi

 
Teknologi benih padi baharu IS21 inisiatif Nuklear Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membantu meningkatkan produktiviti padi dengan anggaran hasil 40 hingga 67 peratus lebih tinggi berbanding purata pengeluaran kebangsaan.

Benih padi jenis IS21 yang dilancarkan pada 20 Nov 2021 adalah hasil inovasi menggunakan teknologi nuklear bagi menambah baik baka biak padi.

Penghasilan benih padi IS21 itu menggunakan kaedah mutasi aruhan sinaran gama ke atas tanaman tanaman padi sebagai alternatif kepada prosedur pembaikbakaan konvensional.

Penghasilan benih berkenaan dikatakan sebagai pencapaian terbaik kajian biak baka mutasi padi di negara ini dengan bercirikan agronomi diperlukan seperti hasil tuaian tinggi sehingga 35 peratus, daya tahan terhadap penyakit serta mampu bertahan dalam cuaca kemarau dan banjir.

Penyelidikan terhadap benih padi itu bermula pada 2005 menerusi kerjasama institusi pendidikan seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selain institusi pendidikan ia turut melibatkan Institut Pembangunan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian.

Ujian distinctness, uniformity dan stability bagi varieti ini dijalankan oleh Jabatan Pertanian pada 2015 yang membawa kepada pensijilan Plant Variety Protection.

Kemudian pada 2016, Agensi Nuklear Malaysia memperoleh dana di bawah program Malaysia Social Innovation atau lebih dikenali dengan MySI yang mana ujian multilokasi (Multi Location Trial) dan ujian penentusahan tempatan (Local Verification Trial) dijalankan bersama komuniti pesawah padi di Pendang, Kedah dan di beberapa lagi lokasi jelapang padi utama di Malaysia.

Inovasi benih padi itu diyakini berpotensi meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi para pesawah di seluruh negara.

Benih padi IS21 diyakini mampu meningkatkan hasil tuaian sehingga 67 peratus atau sembilan tan metrik pengeluaran sehektar mengikut kawasan penanaman.

Selain itu kos penanaman seperti penggunaan baja dan racun perosak juga dapat dikurangkan sehingga 20 peratus.

Dalam pada itu, benih padi yang dihasilkan melalui kaedah inovasi nuklear tersebut mempunyai ketahanan terhadap perubahan cuaca mendadak, tekanan biotik dan abiotik serta pengeluaran hasil cepat berkualiti dari segi zat dan nutrisi. 

Justeru, sehingga kini terdapat lebih 15,000 pesawah padi di seluruh negara menerima padi IS21 yang boleh membantu mereka meningkatkan produktiviti lebih tinggi berbanding purata kebangsaan.

Usaha membangunkan semula benih padi menggunakan teknologi baharu oleh Nuklear Malaysia mula membuka peluang perusahaan dan pekerjaan amat memberangsangkan kepada penduduk Sekinchan dan sekitarnya.

Ini adalah contoh hasil penyelidikan dari makmal ke pasaran yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan.

Teknologi biak baka mutasi ini adalah alternatif kepada prosedur pembaikbakaan konvensional dan ia berpotensi digunakan ke atas tanaman agromakanan dalam menghasilkan varieti yang mempunyai ciri-ciri lebih baik.

Biak baka mutasi ini akan mempunyai ketahanan terhadap perubahan cuaca mendadak, ketahanan terhadap tekanan biotik dan abiotik serta pengeluaran hasil cepat dan mempunyai kualiti yang lebih baik dari segi zat dan nutrisi.

Padi IS21 dinamakan sempena nama Perdana Menteri iaitu IS adalah singkatan bagi nama Ismail Sabri dan angka 21 mewakili tahun 2021.

Varieti Padi IS21 telah didaftarkan di bawah Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 Jabatan Pertanian melalui Certificate of Registration of New Plant Variety and Grant of Breeder's Right (Nombor Pendaftaran: PBR 0156 (NMR152).

Padi IS21 ini diiktiraf oleh Jawatankuasa Dasar Bantuan Kerajaan kepada Industri Padi dan Beras sebagai benih padi sah negara dan dimasukkan dalam skim subsidi padi negara.

Benih padi IS21 adalah contoh hasil penyelidikan dari makmal ke pasaran yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan.

Pada 20 September lalu, Nuklear Malaysia telah menerima pengiktirafan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) atas pencapaian dalam pembiakan mutasi tumbuhan dan bidang bioteknologi berkaitan dalam usaha meningkatkan sekuriti makanan melalui penggunaan radiasi bagi mempelbagai jenis benih yang lebih berkualiti.

Agensi itu telah dinamakan sebagai antara penerima Anugerah Pencapaian Cemerlang dalam Pembiakan Mutasi Tumbuhan semasa Persidangan Agung ke-65 IAEA yang berlangsung di Vienna, Austria.

No comments:

Post a Comment