Thursday 4 February 2021

BASIKAL UNTA TAHAN LASAK

Ada satu gelaran atau nama panggilan untuk sejenis basikal iaitu basikal unta. Basikal unta adalah merujuk pada basikal yang bersaiz 26" @ 28" (saiz merujuk pada jejari rim), berpalang (lelaki),tidak kira apa jenamanya.

Pada era 50 an dan 60an, mampu memiliki basikal sudah dianggap orang berada. Guru dan pejawat awam akan ke pejabat menggunakan basikal.

Dalam filem Seniman Bujang Lapok, yang diterbitkan tahun 1961, Ramlee, Aziz dan Sudin mampu memiliki basikal setelah bergelar ‘seniman’ yang dinggap satu pekerja agak baik pada ketika itu.

Salmah yang bertugas sebagai jururawat berulang alik ke tempat kerja menggunakan basikal. Bahkan, Shariff Dol, samseng Kampung Dusun yang kaya juga beraksi ke sana ke mari menggunakan basikal.

Di Kelantan, mungkin di negeri-negeri lain, basikal ada ‘jantina’ iaitu basikal jantan dan basikal betina. Perbezaan ciri basikal jantan dan basikal betina berdasarkan kedudukan palang.

Jika palang mendatar dari bahagian tempat duduk sehingga sehingga bahagian handle, itu namanya basikal jantan. Jika palang mereng atau condong dari handle sehingga ke bahagian pengayuh pula dinamakan basikal betina.

Kebanyakan basikal ketika itu dikategorikan sebagai basikal jantan. Memang sukar untuk dikayuh oleh mereka yang masih kanak-kanak atau rendah. Pada ketika itu memang jarang ditemui basikal untuk budak-budak.

Memandangkan mengayuh basikal ketika itu dianggap satu ‘keperluan’ dan sesuatu kebolehan yang dibanggakan, maka kanak-kanak akan belajar mengayuhnya secara menyendeng.

Memang satu usaha yang kreatif dan kemampuan yang agak istimewa.

Seperti dijelaskan sebelum ini, basikal unta merujuk pada basikal yang bersaiz 26" @ 28" (saiz merujuk pada jejari rim), berpalang (lelaki), tidak kira apa jenamanya. Jejari rim 26 inci atau 28 inci bermaksud ia lebih besar (bulatan) berbanding kebanyakan rim basikal biasa, yang sekaligus juga menggambarkan ketinggian basikal berkenaan.

Ketinggian dan kelasakan basikal berkenaan mungkin punca ia digelarkan ‘unta’ atau ‘basikal unta’. Memandangkan ia jenis lebih tinggi dan lasak, basikal unta banyak digunakan untuk dijadikan beca roda tiga di Kelantan atau lebih dikenali sebagai ‘teksi’. 

Antara jenama basikal unta yang terkenal pada masa dahulu ialah yang berjenama Raleigh buatan England. Jenama Raleigh bermula oleh Frank Bowden di Raleigh Street, Nottingham, United Kingdom pada tahun 1887.

Jenama lain yang turut terkenal ialah Hercules atau Robin Hood.

Sejarah penggunaan basaikal unta ketika Perang Dunia Kedua ialah yang digunakan oleh tentera Jepun ketika mula mendarat di Kota Bharu tahun 1941. Buatannya ringkas tapi mampu membawa tenteranya menjelajah dari Kota Bharu sehingga ke Singapura. Kemudian ia digunakan pula untuk tentera meneruskan kemaraan sehingga ke Burma.

No comments:

Post a Comment