Thursday, 13 March 2025

SENTUH SENSITIVITI AGAMA BOLEH DIDENDA SEHINGGA RM500 RIBU

 
Seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas disyaki memuat naik kandungan palsu yang menyentuh sensitiviti agama. 

Kandungan yang dimuat naik menerusi laman Facebook milik individu terbabit pada 9 Mac 2025 mendakwa bahawa laungan azan melalui pembesar suara di Masjid Ayer Kuning, Taiping, Perak tidak lagi dibenarkan.
 
Susulan itu, MCMC bersama pasukan penguat kuasa telah menjalankan sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut di Balai Polis Taiping pada 12 Mac 2025. Sebuah telefon bimbit serta satu kad SIM turut disita bagi tujuan analisis forensik.
 
Individu terbabit telah diberikan notis kehadiran bawah Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan kes kini disiasat bawah Seksyen 233(1)(a) akta yang sama.
 
Jika sabit kesalahan, beliau berdepan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
 
MCMC mengingatkan orang ramai supaya menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab dan berhemah serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan agama dan kaum di negara ini.
 
Berkaitan laungan azan dikumandangkan Masjid Kampung Ayer Kuning, yang tidak didengari ahli kariahnya, laporan media menyebut perkara itu berlaku disebabkan pembesar suara yang terletak di luar masjid tidak berfungsi, dan bukan berpunca daripada tekanan mana-mana pihak termasuk berunsur politik kepartian.
 
Pengerusi masjid itu, Abu Bakar Che Ros, dalam kenyataan kepada media menjelaskan situasi azan tidak didengari ahli kariah itu berpunca masalah sistem siar raya (PA system) masjid berkenaan yang berlaku sejak beberapa hari lalu yang sehingga kini (ketika ditemui) masih dalam proses pembaikan.
 
Hakikatnya, kejadian itu tiada kena mengena langsung dengan tekanan pihak tertentu termasuk mengaitkan ia dengan politik. Tindakan sesetengah pihak mengaitkan situasi ini dengan politik memandangkan kariah Masjid Ayer Kuning ini namanya sama dengan Ayer Kuning di Tapah yang akan menghadapi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akibat kematian penyandangnya Ishsam Shahrudddin.

Sumber gambar - MCMC

No comments:

Post a Comment