Tuesday 25 July 2023

JANGAN BUKA AIB ORANG TELAH MENINGGAL

 
Setiap orang ada perkara buruk yang dilakukan ketika hidupnya. Ini kerana manusia tidak sunyi atau terlepas daripada melakukan dosa.
 
Islam menegah kita membuka aib orang lain, lebih-lebih lagi yang telah meninggal dunia. Tidak perlulah dicerita tentang keburukan lalu atas alasan apa sekalipun, melainkan perlu untuk kes di mahkamah atau mencegah sesuatu perkara lebih buruk berlaku.
 
Amat malang jika kisah orang yang telah meninggal dijaja dan dijadikan modal politik. Mengapa orang politik yang telah meninggal dijadikan sasaran sedangkan dia tidak mungkin terlibat dengan politik lagi. Adakah “takut” yang meninggal itu menjadi “hantu” dan terus berpolitik.
 
Cukup-cukuplah berbalah dan saling menyerang ketika masih hidup. Sesiapa yang masih menyerang dan ingin membuka aib orang yang telah mati sebenar boleh dikatakan dayus dan paling tidak berguna.
 
Sekarang ini banyak cerita di media sosial dijadikan bahan kempen dan propaganda sehingga perkara lepas yang dilakukan tokoh politik digunakan asalkan tercapai matlamat menang pilihan raya atau mendapat sokongan pengikut. Mereka tidak kisah sama ada tokoh politik sudah meninggal dunia atau masih hidup.
 
Islam menegah dan melarang sesuatu perbuatan yang boleh membawa kepada kemudaratan kepada umat. Budaya troll tidak sesuai dalam masyarakat kita yang terkenal dengan ketinggian budaya timur yang penuh dengan kesantunan, apatah lagi Islam melarang kita melakukan perbuatan negatif.

No comments:

Post a Comment