Friday 2 July 2021

BAHAYA MAKAN DURIAN

Durian memang kaya dengan khasiat pemakanan yang diperlukan oleh badan.

Secara amnya durian mengandungi 65 peratus air, 27 peratus karbohidrat termasuk empat peratus serat, lima peratus lemak dan satu peratus protein.

Dalam satu cawan 250 gram isi durian (dua atau tiga ulas durian) mempunyai 360 kilokalori (kCal) yang kebanyakannya daripada lemak dan karbohidrat.

Berdasarkan keperluan tenaga dewasa, pengambilan secawan isi durian hampir memenuhi jumlah kalori diperlukan seseorang untuk makan pagi, tengah hari atau makan malam.

Di samping itu durian turut mengandungi vitamin B6 seperti thiamine (B1), riboflavin (B2), niacin (B3), asid pantotenik (B5), vitamin B6 dan folat (B9), vitamin C dan mineral manganese dan potasium.

Semua vitamin ini amat diperlukan tubuh, sebagai contoh vitamin B diperlukan sebagai sumber utama dalam pembentukan sel darah merah dan memastikan sistem saraf berfungsi dengan baik.

Manganese juga membantu fungsi saraf, pembentukan tisu penghubung dan tulang, metabolisme lemak dan karbohidrat manakala potasium untuk mengawal tekanan darah, kesihatan jantung, otot dan tulang.

Menariknya, durian turut mengandungi asid amino, triptofan yang menjadi sumber utama pembentukan hormon serotonin dan melatonin yang membantu individu berasa tenang dan mudah untuk tidur.

Pelbagai manfaat nutrisi yang boleh didapati daripada durian, tetapi jangan ambil dalam kuantiti yang banyak kerana ia boleh memudaratkan.

Bagi pesakit diabetes mereka tidak digalakkan mengambil durian dalam jumlah yang banyak. Ini kerana durian mengandungi karbohidrat iaitu gula dalam bentuk glukosa dan fruktosa yang tinggi. Ia memberikan tenaga yang agak banyak dan menyebabkan tahap gula dalam darah meningkat sekali gus memberi kesan buruk kepada organ tubuh.

Durian juga mempunyai bahan sulfur yang menyebabkan kentut berbau. Sebelum kentut ini dikeluarkan, individu mungkin berasa kembung perut.

Bagi pesakit ginjal dan jantung pula, pengambilan durian secara berlebihan menyebabkan tahap potasium menjadi tinggi dan mengganggu fungsi ginjal.

Berbeza mereka yang mempunyai darah tinggi, pengambilan durian secara sederhana tidak memudaratkan dan mungkin dapat membantu menurunkan tekanan darah.

Bagi mereka yang sihat, dua atau tiga ulas sudah mencukupi. Ini kerana tahap gula yang tinggi akan dimetabolisme dengan lebih lama dan menyebabkan tubuh berasa panas. Jika diambil sebelum waktu malam, ia mungkin menyebabkan rasa tidak selesa.

Walaupun memakan durian berlebihan mungkin tidak mendatangkan kemudaratan bagi mereka yang sihat. Tetapi elakkan mengambil secara kerap contohnya setiap hari dan dalam jumlah yang banyak.

Bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik, sebaik-baiknya hanya mengambil pendekatan ‘merasa’ dan bukan ‘makan’. Jamah hanya seulas untuk tempuh beberapa hari atau hanya dicampurkan dalam makanan lain menimbulkan aroma rasa dan baunya.

Minum air kosong secukupnya bagi mengurangkan rasa panas dan mengelak peningkatan gula dalam darah.

No comments:

Post a Comment