Tuesday 6 March 2018

MUHABALAH SUMPAH LAKNAT

Sumpah secara umumnya adalah perkara biasa. Sumpah boleh berlaku pada bila-bila masa, sama ada dalam mahkamah kalau kes dibawa ke mahkamah atau jika diminta bersumpah ataupun dibuat di luar mahkamah sesama orang Islam.

Sumpah dibuat bertujuan mendapat kepastian yang lebih tinggi tentang kebenaran sesuatu dakwaan. Jika seseorang itu mendakwa sesuatu yang kita tidak pasti, kita boleh memintanya bersumpah. Jika orang tidak meminta kita bersumpah sekali pun, jika kita rasa maklumat yang kita beri tidak dapat diterima dengan baik, kita boleh bersumpah. Ini sumpahan biasa.

Sumpahan adalah sesuatu yang dibuat secara bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan, menguatkan dan menyokong kenyataan-kenyataan kita supaya kebenaran dapat diterima oleh pihak kedua

Tidak hanya dalam kes jenayah, dalam isu pertikaian harta benda pun boleh bersumpah. Sumpah juga boleh dibuat untuk menentukan kebenaran kes-kes peribadi.

Bersumpah dengan menyebut nama Allah. Waallahi, Wabillahi dan Wataallahi. Ini lafaz-lafaz sumpah. Lafaz ini hanya digunakan pada perkara-perkara untuk mengukuhkan kebenaran dan dakwaan supaya pihak kedua boleh menerimanya.

Namun, satu perkara luar biasa dan jarang diamalkan ialah muhabalah (bersumpah dan memohon Allah melaknat orang yang berdusta) ada disebut dalam al-Quran. Muhabalah ada dinyatakan dalam al-Quan.

Firman Allah SWT bermaksud: "Maka barang siapa yang membantahmu mengenainya (agama) sesudah datang pengetahuan kepadamu, katakanlah kepada mereka: Marilah kita mengajak anak-anak kami dan anak-anak kamu, perempuan-perempuan kami dan perempuan-perempuan kamu, diri-diri kami dan diri-diri kamu, kemudian kita bermubahalah (dengan berdoa dan memohon) menjadikan laknat Allah ke atas ke atas orang-orang yang berdusta. (Surah Ali Imran, ayat 61)

Latar belakang turunnya ayat itu ialah ada satu kabilah Nasrani, Bani Najran, di selatan Semenanjung Tanah Arab bertemu Nabi Muhammad. Mereka ingin mendapatkan perlindungan keselamatan daripada negara Islam melalui Nabi Muhammad.

Rasulullah SAW mengajak kabilah itu agar memeluk Islam dan membetulkan pandangan bahawa Nabi Isa itu bukan anak Tuhan. Jika tidak mahu memeluk Islam, mereka perlu membayar jazyah.

Pada masa sama, kaum Nasrani kemudiannya meminta baginda mengemukakan bukti siapa lagi anak yang tidak mempunyai bapa selain Nabi Isa, lalu Nabi berkata, Nabi Adam.

Namun, kabilah itu tidak mahu menerima jawapan Nabi Muhammad SAW. Disebabkan tiada mekanisme untuk menyelesaikan pertikaian itu, maka baginda mengajak kaum Nasrani bermuhabalah.

Tetapi mubahalah tidak berlaku. Orang Nasrani iu takut melakukan mubahalah kerana merasakan Nabi Muhammad berada di pihak yang betul manakala mereka tidak betul.

Mereka takut terpaksa menanggung akibat buruk. Akibat itu bukan sahaja menimpa mereka tetapi turut dilaknat sehingga ke anak cucu. Justeru, kabilah Nasrani membuat keputusan untuk menerima sahaja permintaan Nabi agar membayar jazyah.

Dengan kata lain, muhabalah hanya perlu apabila sudah tidak ada jalan lain untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Sumpah laknat dikenali sebagai mubahalah iaitu bermakna saling melaknat sesiapa yang berbohong antara kedua-dua belah pihak, termasuk orang yang bersumpah.

Sumpah laknat melibatkan orang yang bersumpah itu sendiri. Andai kata apa yang disumpah tidak betul, sesuatu yang batil, ertinya orang yang bersumpah juga termasuk dalam mereka yang dilaknat dalam sumpahan itu. Tapi perkara ini jarang berlaku.

Apabila kita bermubahalah, Allah akan memberi balasan buruk kepada mereka yang berdusta. Apabila kedua-dua belah pihak bermubahalah, mesti ada salah satunya benar dan salah satunya tidak benar. Melalui ayat itu, Allah menjanjikan balasan buruk kepada pihak yang tidak benar.

Sesungguhnya, sumpah laknat sebagai perkara serius kerana ia melibatkan maruah seseorang penganut Islam dan ia boleh membawa kepada pelbagai reaksi daripada masyarakat yang pelbagai pengetahuan dan latar belakang.

Di kalangan pengikut Ahli Sunah Wal Jamaah, mubahalah dilafazkan hanya pada kes-kes yang serius dan pada kes-kes yang besar sahaja. Itu pun selepas dirujuk dengan pelbagai cara lain yang perlu diusahakan untuk menyelesaikan perbalahan dua pihak tadi. Jika ia masih tidak selesai, akhirnya barulah dirujuk kepada cara mubahalah.

Dalam sejarah Syiah, pengikut Syiah banyak merujuk kepada cara mubahalah. Mereka memang lebih suka cara mubahalah.

Terdapat beberapa kes mubahalah yang berlaku pada zaman Jaafar al-Sadiq. Orang Syiah bermubahalah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku pada waktu itu.

Berkaitan balasan kepada mereka bermubahalah hanya Allah yang tahu. Antara yang mungkin boleh berlaku seperti kematian secara mengejut atau sakit berpanjangan atau lain-lain.

Sumpah biasa sekalipun, kalau tidak benar, ia sudah merupakan satu dosa besar dan orang yang berdusta perlu bertaubat.

Mubahalah tentunya lebih serius kerana ia bermaksud laknat Tuhan iaitu dijauhkan daripada rahmat Tuhan. Jadi bila kita dijauhkan daripada rahmat Tuhan, rahmat siapa lagi yang kita harapkan?

Dalam mubahalah, kita dijanjikan dengan balasan laknat. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk iaitu laknat Allah, laknat Nabi dan laknat para mukminin. Maknanya sumpah itu meminta pihak yang berkenaan dijauhkan daripada rahmat Tuhan.

No comments:

Post a Comment