Sebanyak 596 calon mewakili individu atau parti disahkan
bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya
Negeri (PRN) Sabah ke-17, selepas proses penamaan calon ditutup jam 10 pagi 15
Nov 2025.
Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),menunjukkan calon Bebas
merekodkan jumlah penyertaan tertinggi dengan 74 calon, diikuti Parti Warisan
(WARISAN) dengan 73 calon, mewakili setiap DUN dipertandingkan.
Parti Impian Sabah (PIS) pula menampilkan 72 calonnya,
sementara Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) (55); Parti Soladariti Tanah Airku
(STAR) (46); Barisan Nasional (45); Perikatan Nasional (42) dan 40 calon Parti
Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Manakala Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pula meletakkan
25 calonnya, sementara Pakatan Harapan (22); Parti Kebangsaan Sabah (20); Parti
Kerjasama Anak Negeri (17); Parti Perpaduan Rakyat Sabah (16) serta 14 calon
dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Turut menyertai PRN kali ini ialah tujuh calon dari Parti
Rumpun Sabah (RUMPUN); Parti Maju Sabah (SAPP) (enam calon); masing-masing lima
dari Parti Damai Sabah (SPP) dan Perjuangan Rakyat (PR) serta tiga calon,
masing-masing dari Pertubuhan Gemilang Anak Sabah (GAS), Parti Bangsa Malaysia
(PBM) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).
Secara keseluruhan sebanyak 24 parti meletakkan calon untuk
bertanding PRN kali ini.
Turut meletakkan calon, masing-masing satu calon diwakili
oleh Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Parti Bersatu Sasa Malaysia (BERSAMA)
serta Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN).
Bagi saingan mengikut penjuru pula, satu DUN menyaksikan
saingan 14 penjuru, diikuti empat DUN dengan 13 penjuru; masing-masing dua DUN
(12 penjuru dan empat penjuru) serta enam DUN, menyaksikan saingan 11 penjuru.
Lapan DUN pula menyaksikan saingan lapan penjuru dan lima
penjuru; sementara sembilan DUN (10 penjuru); masing-masing 10 DUN (sembilan)
dan tujuh penjuru serta 13 DUN menyaksikan saingan enam penjuru.
Sementara itu, tiada pencalonan oleh calon yang ditolak oleh
SPR.
Proses penamaan calon berlangsung pagi tadi di 25 pusat
penamaan calon yang dibuka SPR di seluruh negeri.
Calon termuda berusia 24 tahun manakala paling tua, 86
tahun.
Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya
dipertandingkan oleh pegawai pengurus hingga jam 11.59 malam, 28 November 2025
ini.
SPR telah menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan
Raya (PPKPR) untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen.
