Tuan Lembut bin Tuan Long Nuh adalah
keturunan Kesultanan Melayu Patani. Ayahnya, Long Nuh bin Tuan Long Nik (Raja
Patani 1949-1771). Tuan Lembut pernah menjadi Raja Muda Reman.
Adik beradik Tuan Lembut ialah Raja Bakar (Raja Patani 1771-1774), Tuan Halus (puteri) dan Tuan Mansor (Raja Reman 1780-an-1836).
Tuan Lembut dan Sultan Long Yunus, adalah cicit kepada Raja Wan Daim. Long Yunus adalah cucu kepada Sultan Long Baha, manakala Tuan Lembut pula cucu kepada Long Nik Datu Pujud.
Tuan Lembut ini asalnya daripada perkataan Limbat. Penulisan dalam huruf Jawi serta dialek yang menjadikan sebutan dan bunyi intonasi seakan kedengaran seperti “limbat” menjadi “lembut”.
Seperti kebiasaan di Patani, pengasas atau pemimpin setempat akan digelar dengan panggilan nama kawasan pentadbiran mereka atau yang teroka oleh mereka.
Dengan itu, Tuan Limbat adalah gelaran yang disebut oleh penduduk setempat. Hal ini menyebabkan nama sebenar beliau telah tidak dikenali lagi oleh generasi keturunannya.
Dalam kajian salasilah Tuan Long Ghaffar dan pemerintahannya di Jeram, mendapati nama Limbat wujud setelah kedatangan Tuan Lembut ke Kelantan (Pasir Puteh).
Dipercayai bahawa Engku Long Seri telah menganugerahkan satu kawasan untuk diteroka oleh sepupunya (Tuan Lembut). Setelah penempatan baru dibina, maka tempat itu dinamakan dengan Limbat.
Tuan Lembut telah berhijrah ke Kelantan semasa pemerintahan Engku Long Seri bin Tuan Long Ghaffar di Jeram (1794 – 1878). Hubungan Engku Long Seri dan Tuan Lembut adalah sepupu.
Namun, ada catatan lebih kuat mengatakan Tuan Lembut datang ke Kelantan lebih awal lagi, iaitu ketika pemerintahan Tuan Long Gaffar, yakni bapa saudaranya.
Kedatangan Tuan Lembut ke Kelantan adalah akibat daripada jatuhnya Patani ke tangan Siam tahun 1785. Tuan Long Ghaffar mentadbir di Jeram dalam lingkungan tahun 1775-1794. Ini bermakna Tuan Lembut berundur ke Kelantan semasa pemerintahan Tuan Long Ghaffar.
Keturunan Tuan Lembut masih banyak di Jeram, Pasir Puterh dan Limbat, Kota Bharu, selain tersebar di seluruh Malaysia, termasuk sebahagiannya masih di Thailand.
No comments:
Post a Comment