Saturday 23 January 2021

SALING BERKONGSI REZEKI

Ada antara kita yang dilebihkan rezeki oleh Allah diangkat menjadi pemimpin, harawan, pengurus, peniaga besar dan sebagainya. Di bawahnya ada pengikut atau pekerja yang memberi kedudukan atau keuntungan melalui aktiviti yang dilakukan.  

Kita berasa hebat dan bertuah dilebihkan rezeki dan menganggap kitalah yang membantu orang di bawah. Memberi rezeki kepada mereka dengan membayar gaji atau upah di atas kerja yang dilakukan.

Sedarkah kita bahawa rezeki kita dapat itu sebenarnya milik orang lain yang dberikan oleh melalui kita? Biasa kita dengan ungkapan dalam rezeki kita ada rezeki orang lain.

Ada kategori harta yang kita kongsikan dengan orang lain. Pertamanya, harta yang kita wajib kongsikan dengan orang lain. Dengan kata lain, ia sebenarnya milik orang lain, tetapi berada di dalam milikan kita. Harta yang dimaksudkan ialah harta zakat.

Harta yang cukup syarat dikeluarkan zakat wajib diserahkan kepada mereka yang layak menerimanya iaitu golongan asnaf. Jumlah harta yang wajib dikeluarkan zakat itu secara hukumnya tidak lagi menjadi milik kita. Ia mesti diserahkan kepada mereka yang sepatut menerimanya.

Kategori kedua harta milik kita yang ianggap dikongsi dengan orang lain ialah harta yang sepatutnya diserahkan kepada golongan yang selayaknya menerima harta itu sebagai sedekah.

Sedekah ialah pemberian kepada golongan fakir miskin atau mereka yang memerlukan bantuan. Jumlah yang diberikan kepada mereka ini tidak ditentukan jumlahnya asalkan dengan ikhlas diberikan.

Sedekah adalah sunat dan tidak menjadi sesuatu kesalahan jika tidak bersedekah. Melainkan dalam mana jika kita tidak memberi sedekah kepada penerima berkenaan akan menyebabkan sesuatu mudarat berlaku. Maka ketika itu adalah wajib kita membantu untuk mengelak mudarat itu.

Kategori ketiga harta kita yang turut dimiliki oleh orang lain ialah dengan cara memberi cenderahati atau membelanjakan sesuatu kepada orang lain. Contohnya kita belanja makan rakan yang bukan di kalangan golongan miskin. Kita boleh belanja makan rakan yang lebih kaya atau lebih berada berbanding kita.

Jika kita mengupah orang membuat kerja, secara tidak langsung seperti rezeki orang dalam rezeki kita. Bayarlah secara sepatutnya, jangan terlalu berkira.

Jangan menangguh upah kerana jika ditangguh ibarat kita menangguh rezekinya. Nabi bersabda, lunaskan upahnya sebelum kering peluhnya, membayangkan suruhan disegera bayar upah.

Jadi bila mengupah orang bekerja, ingatlah dalam rezeki kita ada rezeki orang. Bersyukurlah kerana Allah memilih kita untuk menyalurkan rezeki kapada orang lain.

Pada masa sama, kita kena sedar bahawa siapakah kita tanpa ada pekerja yang sanggup berkerja memberi kebaikan dan keuntungan kepada kita.

Harta tidak mendapat menfaat dari hartanya jika tiada siapa ingin melakukan kerja untuknya. Dia sendiri perlu membuat kerja-kerja seharian tanpa ada orang lain membantu.

Hartawan nampak hebat dan menikmati kemewahan jika ada orang sanggup berbakti kepadanya. Jadi, kepada hartawan jangan beranggap anda yang memberi kebagiaan kepada orang lain, tetapi orang lainlah memberi kebahagiaan dan nikmat kemewahan kepada anda.

Dengan kata lain, setiap peringkat taraf kehidupan manusia saling mememerlukan antara satu sama lain. Si kaya mengharapkan pertolongan pekerja untuk menyempurnakan tugas dan keperluannya. Manakala si pekerja mengharapkan upah daripada orang yang menugaskan sesuatu kerja.

Sesungguhnya, Allah menyalurkan rezeki kepada kita melalui orang lain Rezeki tidak semata-mata kekayaan, tetapi juga kebahagiaan dan tubuh yang sihat juga adalah rezeki.

Kita sebenarnya ibarat ‘menumpang’ rezeki orang lain yang Allah turunkan menerusi kita. Maka, maka ambillah yang patut dan selebihnya berkongsilah dengan yang lain.


No comments:

Post a Comment