Friday 29 December 2023

SERUAN MELAKUKAN JIHAD YANG SEBENAR

 
Islam memerintahkan supaya setiap muslim bersedia berjihad untuk mempertahankan kedaulatan dan kedudukan Islam. Tuntutan berjihad dijelaskan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad sebenarnya.” (Surah al-Hajj, ayat 78).
 
Erti jihad yang sebenar ialah melakukan sesuatu usaha atau tindakan untuk kepentingan agama Allah mengikut cara yang betul atau diharuskan dalam Islam. Ia bertujuan mencapai kebaikan dan mencegah perkara buruk daripada berlaku.  
 
Al-Quran dan al-hadis banyak menyebut mengenai jihad.  Jihad tidak hanya dengan kekuatan senjata atau bertempur di medan perang. Ironinya, terdapat umat Islam menyempitkan fahaman jihad hanya kepada peperangan menentang musuh Islam dan perkataan jihad sinonim dengan mati syahid. 
 
Imam Bukhari berjaya mengumpul kira-kira 101 hadis mengenai jihad, yang mana sebahagian besar menjelaskan amalan dimaksudkan jihad seperti berusaha mencari rezeki, menuntut ilmu, melakukan kebaikan terhadap ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat.   
 
Antara hadis menyebut mengenai jihad ialah sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barangsiapa yang memasuki masjid kami ini (masjid Nabawi) dengan tujuan mempelajari kebaikan atau mengajarkannya, maka ia laksana orang yang berjihad di jalan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban, Ibnu Majah dan Ahmad). 
 
Sesungguhnya, cabang jihad amat banyak yang mampu dilakukan demi untuk kebaikan diri sendiri, keluarga dan agama. Seruan jihad dalam maksud inilah yang perlu diutamakan oleh setiap individu Islam mengikut kemampuan masing-masing.   
 
Sesungguhnya, berbuat baik sesama makhluk dengan niat untuk menegakkan syiar dan kedudukan Islam juga termasuk dalam kategori jihad. Antara jihad dituntut dilakukan muslim ialah menguasai ilmu pengetahuan, ekonomi, sains, teknologi, politik, ketenteraan dan segala keperluan lain untuk setanding dengan bukan Islam. 
 
Perbuatan ekstrem ditegah dilakukan kecuali terpaksa disebabkan pihak musuh memulakan atau wujudnya tindakan provokasi yang perlu dihadapi dengan tindak balas yang sama. Tindakan itu perlu untuk mempertahankan hak, membela kebenaran dan keadilan.
 
Perkara ini ditegaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Diwajibkan ke atasmu berperang menentang pencerobohan, sedangkan peperangan itu adalah perkara yang kamu benci.” (Surah al-Baqarah, ayat 216).
 
Tindakan negara Islam cuba menentang kuasa besar secara ketenteraan mengundang padah. Tidak ada negara Islam yang mampu menandingi kemampuan persenjataan kuasa besar. Musuh Islam menggunakan alasan ancaman ketenteraan untuk menghancurkan sepenuhnya potensi yang dimiliki umat Islam.  
 
Disebabkan salah tafsir maksud jihad juga membawa kepada perpecahan sesama umat Islam. Disebabkan berlainan fahaman politik telah membawa kepada pertentangan sesama sendiri. Di negara luar, terdapat umat Islam berperang sesama sendiri. Masing-masing pihak mengaku mereka sedang berjihad dan menghalalkan darah sesama Islam. 
 
Inilah malapetakat besar melanda umat Islam. Dalam keadaan umat Islam lemah sepatutnya kita bersatu dan mengetepikan segala perbezaan pendapat dan fahaman. 
 
Di negara ini, biarpun perbezaan pendapat tidak membawa kepada pertumpahan darah, namun perkara ini tidak boleh dipandang mudah kerana telah banyak kerugian dari segi tenaga, fikiran dan wang ringgit dihabiskan untuk 'bertempur' sesama sendiri. Segala aset itu sepatutnya digunakan untuk bersama-sama berjihad membela umat Islam di Malaysia.

Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment