Friday 26 January 2018

ULAMA BERPERANAN DAMAIKAN KRISIS POLITIK

Berlaku perpecahan dalam Islam disebabkan masing-masing mengaku memperjuangkan Islam melalui cara masing-masing. Setiap pihak mengaku mereka lebih layak memimpin umat Islam.

Perpecahan itu perlu dihentikan. Di sinilah wujud peranan ulama untuk mengelak perpecahan. Dalam menangani perselisihan faham membabitkan pemimpin atau ahli politik, sewajarnya golongan ulama tampil bagi menjernihkan kekusutan yang berlaku.

Kedudukan dan peranan ulama amat dihormati. Ulama juga mempunyai peranan besar dalam hal urusan pentadbiran.

Umat Islam diseru supaya mengetepikan sebarang perbalahan dan permusuhan.  Perpecahan merugikan umat Islam. Perpecahan membawa kepada kemusnahan.  

Umat Islam hilang kekuatan disebabkan berpecah sesama sendiri. Peluang untuk berjaya tertutup terus.  Akibatnya umat Islam terus ketinggalan dan ditindas.  

Imam al-Ghazali memainkan peranan besar dalam mendamaikan konflik pentadbiran dan kekacauan politik yang berlaku dalam masa pemerintahan Bani Saljuk.

Cara dilakukan ialah menerusi nasihat politik yang didokumentasikan dalam kitabnya, al Tibr al-Masbuk fii Nashihat al-Muluk.

Justeru, amat dialu-alukan sekiranya golongan ulama atau mufti memainkan peranan sebagai pendamai pihak-pihak yang bertelingkah. Malang sekali, ada pihak hanya menerima pandangan ulama jika menyokong apa yang dilakukan atau kelompok mereka saja.  

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin menjelaskan bahawa krisis penguasa sebenarnya adalah berpunca daripada krisis ulama.

Beliau mengatakan: “Sesungguhnya, kerosakan rakyat disebabkan oleh kerosakan para penguasanya, dan kerosakan penguasa disebabkan kerosakan ulama dan kerosakan ulama disebabkan oleh kerosakan cinta harta dan kedudukan, dan sesiapa dikuasai oleh cita-cita duniawi ia tidak akan mampu mengurus rakyat kecil. Allah-lah tempat meminta segala persoalan.” (Ihya Ulumuddin, Juz II, hal. 381).

No comments:

Post a Comment