Wednesday 24 January 2018

CARA TANGKAP IKAN DI SAWAH

Pengalaman berkubang atau main lumpur di sawah mahupun kawasan paya suatu yang jarang dapat dilihat. Main lumpur bukan sekadar suka-suka hendak berkubang, tetapi menangkap ikan apabila kawasan air semakin kering.

Pada musim banjir banyak ikan dari sungai naik ke sawah atau kawasan paya yang pada masim biasa dalam keadaan kering.

Ikan itu akan terperangkap tidak dapat pulang semula ke sungai atau tasik ketika air semakin surut. Dalam tempoh beberapa bulan ikan itu terus membesar di tempat baru.

Apabila musim kemarau, air di sawah atau paya akan mengering. Ketika itulah peluang untuk berkubang menangkap ikan.

Biasanya untuk menangkap ikan di kawasan air yang belum sepenuhnya kering menggunakan serkap. Atau, air yang belum kering itu akan ditimba atau 'menimba ikan'.

Masa dahulu proses menimba mengunakan timba mahupun peralatan lain yang boleh air ditimba atau dipindahkan ke tempat lain. Batas akan dibuat untuk menghalang air yang telah ditimba itu masuk kembali ke kawasan yang ingin dikeringkan.

Kerja menimba ini dilakukan secara gotong royong atau melibatkan sekelompok orang. Apabila air hampir kering kerja menangkap ikan akan dilakukan. Ikan dikumpulkan setempat dan kemudian dibahagikan sama banyak dengan individu yang terlibat.

Paling gembira menangkap ikan yang sudah menimbul kerana pening atau sukar bergerak adalah kanak-kanak. Ketika orang dewasa masih menimba air, mereka sudah berkubang untuk menangkap ikan.

Menangkap ikan perlu berhati-hati, terutama kalau kawasan itu ada ikan keli. Sengat ikan keli agak berbisa kalau kena di tangan atau terpijak di kaki. 

Sengatan keli boleh menyebabkan bengkak dan ada yang akan rasa pening dan kesakitan yang amat sangat.

No comments:

Post a Comment