Thursday, 24 October 2024

KENALI GOLONGAN SALAF

 
Perkataan Salafi adalah kata nisbah bagi al-Salaf. Dari segi bahasanya, al-Salaf bermaksud orang-orang yang mendahului atau hidup sebelum zaman kita. Istilah al-Salaf secara mudah untuk difahami adalah merujuk kepada generasi awal Islam iaitu para sahabat Nabi SAW, para tabiin dan tabi-tabiin.
 
Generasi ini akui sebagai yang terbaik di kalangan umat Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ““Sebaik-baik manusia ialah pada generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
 
Justeru, seseorang yang mengaku Salafi adalah seseorang yang mengikuti ajaran para sahabat Nabi SAW, tabiin dan tabi-tabiin.
 
Lanjutan dari perkataan ini maka timbul bentuk perkataan lain seperti Salafiyah (yang bermaksud ajaran atau fahaman kesalafan) atau Salafiyun/Salafiyin yang merupakan bentuk plural dari perkataan Salafi. 

Salafiyah juga boleh diertikan dengan khazanah ilmu yang bersumberkan dari pemahaman secara mendalam tentang ajaran Salafus al Soleh.
 
Salafiyah juga bermaksud membawa semangat untuk kembali kepada yang asal kerana yang asal itu lebih murni, dekat dan sesuai dengan kehendak Al Quran dan As Sunnah. Di sinilah konsep Salafiyah bertemu dengan konsep Tajdid (pembaharuan).
 
Seorang Mujaddid adalah seorang yang berhasil mengingatkan dan mengembalikan umat Islam daripada jauh terpesong daripada jalan yang benar. Namun, ia hanya dianggap Mujaddid sekiranya apa yang dilakukan itu benar- benar Tajdid dan untuk memastikan ini berlaku seseorang itu mestilah memiliki keilmuan yang cukup tinggi, kefahaman yang benar dan ketaqwaan yang jitu hingga tidak tersasar dari landasan sebenar.
 
Golongan Salafi ini sebenarnya bercita-cita untuk mengembalikan umat Islam kepada ajaran asal yang difahami oleh Al Salaf Al Soleh.
 
Berdasarkan dari definisi dinyatakan, sebenarnya tidak ada masalah bagi sesiapa sahaja yang mengaku diri mereka Salafi kerana setiap umat Islam mengakui tentang kedudukan Nabi SAW dan dua generasi terbaik selepas itu.
 
Pemikiran Salafi adalah merupakan landasan berbagai gerakan Islam sejak beberapa dekad ini. Semangat Tajdid adalah sebab terbentuknya pelbagai gerakan Islam tersebut dan kemunculan gerakan Salafiyun mencerminkan corak Salafi dalam arus Tajdid tersebut.
 
Namun begitu, dari gerakan Salafiyun ini muncul golongan yang dipanggil kelompok ekstrem. Perkara ini perlu dijauhi. Kelompok ekstrem suka membidaahkan, mencari kesalahan orang lain lalu menyebarkannya, menyesatkan kelompok lain dan memberi label-label tertentu kepada golongan yang berbeza dari mereka.
 
Pemikiran seperti inilah yang mencemarkan nama baik Islam. Islam dipandang ekstrem dan membuat kekacauan.
 
Dalam keadaan apa sekalipun, sikap ekstrem mendatangkan banyak keburukan biarpun niat asalnya ingin mendapat kebaikan. Sepatutnya amalan bersederhana dan tetap dengan pendirian yang yakin kepada sesuatu usaha untuk mencapai kebaikan.  
 
Walaupun perkataan Salaf kelihatan sinonim dengan kelompok Salafi namun sebenarnya ia bukan hak ekslusif dan menjadi ciri-ciri khas golongan tersebut.

No comments:

Post a Comment