Saturday, 16 November 2024

SIKAP SUKA MENYALAHKAN ORANG LAIN

 
Satu tanda minda dipenuhi toksik ialah apabila asyik menyalahkan orang lain. Hanya diri sendiri sahaja betul. Ironinya, orang itu sebenarnya yang tidak betul dan banyak melakukan kesalahan.
 
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika ada seseorang berkata, “orang ramai (sekarang ini) sudah rosak”, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka” (Hadis riwayat Muslim).
 
Imam Nawawi menjelaskan dalam kitab Riyadhus Shalihin: “Larangan semacam di atas itu (larangan berkata bahawa orang ramai telah rosak) adalah untuk orang yang mengatakan sedemikian tadi dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasa dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini adalah haram.
 
“Ada pun orang yang berkata seperti ini kerana ia melihat kurangnya perhatian orang ramai terhadap agama mereka serta didorong oleh perasaan sedih melihat nasib yang dialami oleh mereka dan timbul daripada perasaan cemburu terhadap agama, maka perkataan itu tidak ada salahnya”.
 
Hadis ini diletakkan di awal buku supaya menjadi suatu peringatan kepada kita kerana di dalam hadis-hadis akhir zaman terkandung pelbagai realiti umat yang hilang nilai diri.
 
Maka, apabila kita menyorot dan menghurai hadis-hadis tersebut hendaklah berlindung diri kepada Allah SWT dari bangga dan ujub kerana baiknya kita tetapi harus merenung dan menilai diri sendiri di manakah letaknya kita.
 
Sekarang ini, banyak individu cenderung untuk melihat betapa salahnya orang lain. Betapa teruknya orang tanpa sedar hakikatnya mereka itu adalah cerminan diri kita.
 
Apakah keadaan semakin baik apabila asyik menyalahkan pihak lain? Apakah itu tanda masyarakat kita menjadi masyarakat yang prihatin atau ambil peduli menilai pihak lain?
 
Menegur dan saling menasihati memang perlu, tetapi bukan menyalahkan, sehingga merasakan pihak lain bersalah secara membabi buta. Perbuatan itu akan mendorong pihak yang dipersalahkan itu akan mempertahankan kebenaran dan menyalahkan pihak yang menyalahkannya. Keadaan itu akan mewujudkan keadaan tidak baik dalam masyarakat.
 
Masyarakat yang peduli terhadap apa yang berlaku terhadap umat. Ambil tahu tentang kemelaratan, kesengsaraan dan serangan umat itu sendiri. Apakah yang akan terjadi sekiranya tidak ada lagi orang yang peduli terhadap apa yang berlaku terhadap umat?
 
Individu yang baik tidak menyalahkan pihak lain. Sebaliknya, dia akan menekankan kepada kesedaran, melihat dan berfikir tentang umat. Seterusnya menganalisis, mencari punca, mencari jalan penyelesaian dan menyebarkan kebenaran.
 
Apa yang berlaku berpunca apabila orang semakin hilang kesedaran tentang dosa, tentang akhirat. Dalam suasana seperti inilah perlunya kita tampil dengan semangat baru membina masyarakat yang beragama.
 
Firman Allah SWT bermaksud: ”Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, beribadah, memuji (Allah), mengembara (demi ilmu dan agama), rukuk, sujud, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman”.(Surah At-Taubah, ayat 112).
 
Individu yang bertaubat akan sentiasa muhasabah diri, mempamerkan tindak tanduk dipenuhi dengan kesedaran tentang hukum-hakam, nilai-nilai dan prinsip-prinsip ketuhanan. Mereka tidak sewenang-wenangnya menyalahkan individu atau pihak lain dalam sesuatu isu kerana menyedari bahawa itu ditegah oleh agama.

No comments:

Post a Comment