Tuesday, 11 June 2024

CARA MAKAN PULUT DURIAN PALING SEDAP

 
Makan pulut durian amat sedap. Resipi membuat pulut durian amat ringkas. Selain isi durian, bahan lain diperlukan ialah beras pulut, santan, sedikit gula, garam dan gula melaka. Sangat mudah dan cepat buat pulut durian. 
 
Penyediaan pulut boleh dilakukan dengan dua kaedah. Pertamanya ditanak sepertimana menanak nasi. Keduanya dengan cara mengukus. 
 
Kedua-dua cara itu boleh dilakukan mengikut peralatan yang dimiliki. Biasanya orang menggunakan cara mengukus untuk mengelak pulut menjadi lembik atau terlalui melekit.
 
Santan pula perlu disediakan sama seperti santan untuk gulai atau masakan lain. Namun, elok jika santan itu daripada kelapa yang bahagian kulit luar (antara isi kelapa dengan tempurung) dikikis. Cara itu untuk mengelak ada “benda asing” di dalam santan. Boleh juga digunakan santan kotak.
 
Santan itu boleh sama ada dimasak atau tidak. Untuk merasai lemak dan aroma asli, kebanyakan orang tidak memasaknya. 
 
Dalam santan itu dimasukkan sedikit garam. Kalau tidak suka santan, boleh guna air biasa sahaja. 
 
Manakala, gula dan gula melaka pula dicampurkan semasa hendak makan. Jadi, sebanyak mana gula dan gula melaka dimasukkan atau digaul bersama pulut dan santan, bergantung kepada cita rasa masing-masing. 
 
Sebenarnya, antara gula dan gula melaka, boleh dipilih kedua-duanya atau hanya mana satu saja. Jadi, kalau tiada gula melaka, boleh sahaja guna gula biasa. 
 
Gaulan durian dan pulut serta santan, mengikut cita rasa dan cara masing-masing. Ada yang suka menggaul kesemuanya sehingga sebati dan kelihatan seperti bubur.
 
Ada juga yang hanya menggaulkan santan dengan pulut, sedangkan durian pula dijemput atau dicampurkan bersama apabila hendak disuap ke mulut. 

Cara paling selesa dan sedap makan pulut durian dengan menggunakan tangan. Mudah untuk menggaul dan mencubit durian. Pun begitu ada juga orang menggunakan sudu untuk makan durian. 

Selain pulut durian, isi durian juga dicampurkan di dalam pengat atau bubur untuk mendapat rasa dan aromanya.  



No comments:

Post a Comment