Wednesday, 7 October 2020

ZAKAT HAK GOLONGAN DITETAPKAN

Zakat pada dasarnya dikehendaki dikeluarkan secara sukarela bagi menepati konsep ibadat. Bagaimanapun, jika ada individu yang tidak mahu menyerahkan harta mereka secara sukarela sebagai zakat, maka pihak berkuasa boleh bertindak secara lebih tegas, yakni merampasnya. 

Khalifah Abu Bakar pernah mengiystiharkan perang terhadap golongan yang enggan mengeluarkan zakat. Perkara ini menepati bahawa sebenarnya jumlah yang telah ditetapkan sebagai zakat bukan lagi menjadi milik pemilik asalnya.

Bagaimanapun, golongan fakir dan miskin tidak boleh mengambil harta itu sewenang-wenangnya. Hak untuk merampas atau melakukan tindakan hanya boleh dilakukan pihak berkuasa. 

Adalah lebih baik dikeluarkan zakat dengan keikhlasan sebagai tanda mematuhi perintah Allah. Banyak cara Allah menarik balik kekayaan orang yang ingkar terhadap perintah-Nya, sama ada ditimpakan musibah terhadap harta itu seperti kebakaran, kecurian, kehilangan dan sebagainya, atau ditutupkan rezeki akan datang.

Sesiapa tidak berzakat bermakna akan merosakkan bahagian harta yang lain. Ini kerana bahagian harta yang sepatatnya dikeluarkan zakat itu adalah virus yang akan merebak ke seluruh harta lain. Harta tidak dikeluarkan zakat mendatangkan keburukan kepada pemiliknya secara tidak sedar.  

Sebuah hadis diriwayatkan oleh al-Bazzar dan Baihaqi bermaksud: “Apabila harta zakat (yang sepatutnya dikeluarkan) bercampur dengan kekayaan lain, maka kekayaan tersebut akan binasa.”

Mengeluarkan zakat adalah menyuburkan harta dan mendorong kepada penambahan harta. Sesiapa membelanjakan harta mengikut ditetapkan syariat, maka dia bakal memperolehi keuntungan berganda-ganda yang tidak diduga olehnya.

Firman Allah bermaksud: “Apa yang kamu belanjakan, Allah menggantikannya.  Kerana Dia adalah pemberi rezeki.” (Surah Saba, ayat 39).

Allah berkuasa menentukan apa ingin diberikan kepada setiap orang. Dialah pemberi rezeki dan menarik balik apa yang telah diberikan. Firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 245 bermaksud: “Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempitkan dan meluaskan (pemberian rezeki), dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.”

Rezeki bukan sahaja dalam bentuk kekayaan dan kemewahan bersifat kebendaan. Sebaliknya, rezeki juga dalam bentuk kesihatan yang baik, ketenangan fikiran, kebahagiaan hidup, penghormatan dan bilangan anak yang ramai. Dengan kata lain, rezeki adalah apa yang kita inginkan dalam kehidupan ini. 

No comments:

Post a Comment