Bunuh
diri ialah perbuatan menamatkan atau menghilangkan nyawa diri sendiri
dengan apa cara sekalipun seperti menggantungkan diri, memutuskan urat nadi,
melemaskan diri dalam air atau asap, minum racun dan membakarkan diri.
Perbuatan membunuh diri dikaitkan dengan situasi tidak dapat berdepan dengan
apa yang dihadapi atau berlaku pada diri, seperti putus cinta, masalah hutang,
gagal dalam perkahwinan, pasangan curang dan melarikan diri daripada masalah
hidup.
Bagi semua agama dan masyarakat membunuh diri dianggap tidak baik. Malah, dalam
ajaran Islam, perbuatan itu satu dosa besar.
Menurut statistik rasmi, lebih kurang sejuta orang membunuh diri pada setiap
tahun, iaitu lebih daripada bilangan mereka yang dibunuh serta juga bilangan
yang dikorbankan dalam peperangan.
Pada tahun 2001, kes membunuh diri di Amerika Syarikat melebihi kes dibunuh dan juga melebihi kematian akibat AIDS.
Mereka yang membunuh diri akan dibangkitkan di akhirat dengan pelakuan
sepertimana dia membunuh diri.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membunuh dirinya dengan
benda tajam, maka benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam perutnya di
neraka Jahanam. Hal itu akan berlangsung selama-lamanya. Sesiapa yang meminum
racun sehingga mati, maka ia akan meminumnya di dalam neraka Jahanam
selama-lamanya. Sesiapa yang menjatuhkan diri dari gunung semata-mata untuk
membunuh diri, maka ia akan menjatuhkan dirinya ke dalam neraka Jahanam
selama-lamanya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Di dalam Islam perbuatan membunuh diri adalah termasuk dalam dosa besar dan
dilarang keras. Hal ini kerana manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh
Allah dan diutamakan melebihi makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain.
Orang yang membunuh diri adalah orang yang lari dari tanggungjawab
kemanusiaannya. Lebih parah daripada itu perbuatan tersebut menunjukkan
kurangnya kepercayaan seseorang itu terhadap takdir Allah SWT sedangkan Islam
mengajarkan umatnya tentang kepentingan sabar dan tawakkal serta melarang
daripada sifat berputus asa dan sebagainya.
Orang yang beriman tidak boleh membunuh dirinya sendiri dengan sebarang alasan
kerana Allah SWT pernah berfirman yang maksudnya: "Dan janganlah kamu
membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu." (Surah
an-Nisa, ayat 29)
Dari Abu Hurairah katanya, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang membunuh diri
dengan mencekik lehernya, maka dia akan mencekiknya pula nanti di neraka. Dan
sesiapa yang menikam dirinya, maka dia akan menikamnya pula nanti di neraka.”
Kematian akan mendatangi sesiapa sahaja apabila sampai saatnya yang telah
ditentukan oleh Allah SWT. Dari itu kita dilarang mendahului takdir dengan
melakukan perbuatan yang dikutuk iaitu membunuh diri sendiri. Hal demikian ini
menggambarkan bahawa seseorang itu sudah berputus asa daripada rahmat Allah
sedangkan Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Sesungguhnya perbuatan membunuh diri bukanlah jalan penyelesai masalah kerana
kematian hanyalah satu kerehatan sementara sedangkan di akhirat kelak kita akan
diadili dan bakal menerima hukuman daripada Allah.
Maka amat rugilah sekiranya seseorang itu cepat berputus asa dengan masalah
hidupnya serta membunuh dirinya kerana jelas sekali membunuh diri sendiri
samalah seperti menzalimi diri sendiri.
No comments:
Post a Comment