Monday 25 March 2024

SEJARAH GEMILANG 19 RAMD (MEK)

 
Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) telah ditubuhkan pada 1 Jan 1977 di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah. Pegawai Memerintah pertama yang dipilih bagi memimpin pasukan ini adalah Lt Kol Musa bin Datuk Ghazali dengan dibantu oleh Kapt Rosly bin Yusoff sebagai Ajutan dan PW 1 Sulaiman bin Ahmad sebagai Sarjan Mejar Rejimen yang pertama.     

Sepanjang penubuhannya, pasukan telah banyak memberi sumbangan ke arah keselamatan dan juga pembangunan negara melalui penglibatannya di dalam pelbagai operasi.

Pasukan 19 RAMD telah diberi status operasi pada 1 Jan 1978. Pasukan telah banyak menabur bakti di kawasan Semenanjung Malaysia sama ada di dalam operasi melawan insurgensi mahupun operasi bencana alam serta jiwa murni.

Selaras dengan penstrukturan semula Tentera Darat (TD), maka pasukan ini telah disusun semula menjadi sebuah Batalion Infantri Mekanize pada 1 Jan 1987 dan menerima status operasi pada 1 Jan 1988.      

Di samping menabur bakti di dalam negara, 19 RAMD (Mek) juga telah diamanahkan untuk berkhidmat di bawah Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, di bawah Operasi UNOSOM II di Somalia sebagai kumpulan utama MALBATT 1 mulai 18 Jun 93 hingga 11 Jan 94. Pasukan telah ditempatkan di Mogadishu dan bertindak sebagai Pasukan Tindak Cepat  (QRF).

Semasa misi tersebut, pasukan telah mencapai kejayaan yang besar di mana ketumbukan pasukan telah berjaya menyelamatkan 75 anggota Rangers Amerika yang terperangkap di Pasar Bakara pada 3 dan 4 Okt 1993.

Walaupun operasi ini dilaksanakan dalam keadaan mendadak dengan serba kekurangan dari aspek perisikan musuh,keadaan medan dan kedudukan objektif serta masalah komunikasi antara tentera asing yang bergabung bersama untuk melaksanakan operasi.

Tetapi tim tempur Malbat 1 berjaya mempamerkan tahap profesionalisme ketenteraan yang amat cemerlang dan dibanggakan. Pengibatan anggota Malbat 1 dalam operasi menyelamat ini telah disanjung tinggi oleh semua pasukan pengaman UNOSOM II. 

Dalam pertempuran yang berlaku selama enam jam itu,puak militan Farah Aideed telah menembak beratus-ratus launcer RPG dan beribu-ribu butir peluru untuk menangkis kumpulan penyelamat. 

Tentera Amerika yang menyaksikan sendiri reaksi berani anggota Malbal 1 dalam pertempuran yang amat terdesak dan tertekan ini mengakui hakikat kehebatan dan kecekapan tentera Malaysia menangani suasana tersebut.

Di atas keberanian luar biasa dan kejayaan yang ditunjukkan oleh penggempur 19 RAMD Mekanize, seorang anggota pasukan ini telah terkorban dan dikurniakan Darjah Keberanian Tertinggi Persekutuan, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan enam orang lagi dianugerahkan Panglima Gagah Berani (PGB).

Sesungguhnya, kecemerlangan warga pasukan ini telah mengangkat martabat Tentera Darat Malaysia (TDM) menjulang tinggi nama baik Malaysia di persada antarabangsa. Pengorbanan perjuangan dan pengabadian warga Pasukan di Pasar Bakara telah diiktiraf dengan penganugerahan ’Battle Honours’ di Panji-panji pasukan.

Batalion ini telah dianugerahkan Panji-panji Rejimen pada 26 April 1997. Panji-panji lambang kecemerlangan pasukan ini telah dianugerahkan oleh Kol Yang DiPertua RAMD,  Tuanku  Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Sultan Badlishah di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani.

Sesungguhnya, tarikh keramat 1 Jan 1977 tidak pernah dilupakan oleh setiap warga pasukan. Sehingga kini, pasukan telah banyak memperolehi kejayaan yang membanggakan bagi mengharumkan nama 19 RAMD (Mek).

Sejarah telah membuktikan bahawa pasukan ini dan Tentera Darat amnya adalah satu ketumbukan yang tidak boleh dipandang remeh. Apa yang penting di sini, masyarakat perlu menyedari bahawa pihak tentera khususnya pasukan 19 RAMD (Mek) sentiasa bersiap sedia pada sebilangan masa untuk mempertahankan kedaulatan bumi tercinta.










No comments:

Post a Comment