Friday 5 March 2021

Parti mana perintah Malaysia sekarang?

Umum mengetahui Malaysia kini diperintah secara parti gabungan iaitu Parti Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Parti Perikatan Nasional (PN) ialah gabungan parti politik rasmi di Malaysia yang terdiri daripada lima parti komponen. Parti ini didaftarkan pada 7 Ogos 2020 di bawah kategori politik, selaras peruntukan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335). Konsep organisasi parti ini adalah sama dengan Barisan Nasional (BN) iaitu ia dianggotai oleh parti-parti.

Sekarang ini PN dianggotai oleh lima buah parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

GPS merupakan bekas parti komponenBN Sarawak yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP). GPS bermula dari tarikh 12 Jun 2018.

BN telah diwujudkan sebagai pengganti terus kepada gabungan Parti Perikatan. Parti Perikatan sebelum bertukar menjadi BN dianggotai tiga parti iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC).

BN didaftarkan secara rasmi pada Jun 1974, yang turut disertai Gerakan, Pas dan parti tempatan di Sarawak dan Sabah. Bilangan terbanyak anggota komponen BN ialah 14 buah parti.

Kini, BN dianggotai empat komponen parti iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)

Jadi, kerajaan Pusat sekarang tidak patut atau salah jika dikatakan kerajaan PN. Nama sepatutnya digunakan ialah Kerajaan Gabungan PN, BN dan GPS atau boleh sahaja dinamakan dengan nama lain yang tidak menggambarkan ia kerajaan PN.

No comments:

Post a Comment