Saturday 19 September 2020

BUNUH DIRI BERPUNCA RASA KECEWA

Bunuh diri ialah perbuatan menamatkan atau menghilangkan nyawa diri sendiri dengan apa cara sekalipun seperti menggantungkan diri, memutuskan urat nadi, melemaskan diri dalam air atau asap, minum racun dan membakarkan diri. 

Perbuatan membunuh diri dikaitkan dengan situasi tidak dapat berdepan dengan apa yang dihadapi atau berlaku pada diri, seperti putus cinta, masalah hutang, gagal dalam perkahwinan, pasangan curang dan melarikan diri daripada masalah hidup. 

Bagi semua agama dan masyarakat membunuh diri dianggap tidak baik. Malah, dalam ajaran Islam, perbuatan itu satu dosa besar.

Menurut statistik rasmi, lebih kurang sejuta orang membunuh diri pada setiap tahun, iaitu lebih daripada bilangan mereka yang dibunuh serta juga bilangan yang dikorbankan dalam peperangan.

Pada tahun 2001, kes membunuh diri di Amerika Syarikat melebihi kes dibunuh dan juga melebihi kematian akibat AIDS.

Mereka yang membunuh diri akan dibangkitkan di akhirat dengan pelakuan sepertimana dia membunuh diri. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membunuh dirinya dengan benda tajam, maka benda tajam itu akan dipegangnya untuk menikam perutnya di neraka Jahanam. Hal itu akan berlangsung selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun sehingga mati, maka ia akan meminumnya di dalam neraka Jahanam selama-lamanya. Sesiapa yang menjatuhkan diri dari gunung semata-mata untuk membunuh diri, maka ia akan menjatuhkan dirinya ke dalam neraka Jahanam selama-lamanya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Di dalam Islam perbuatan membunuh diri adalah termasuk dalam dosa besar dan dilarang keras. Hal ini kerana manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah dan diutamakan melebihi makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain.

Orang yang membunuh diri adalah orang yang lari dari tanggungjawab kemanusiaannya. Lebih parah daripada itu perbuatan tersebut menunjukkan kurangnya kepercayaan seseorang itu terhadap takdir Allah SWT sedangkan Islam mengajarkan umatnya tentang kepentingan sabar dan tawakkal serta melarang daripada sifat berputus asa dan sebagainya.

Orang yang beriman tidak boleh membunuh dirinya sendiri dengan sebarang alasan kerana Allah SWT pernah berfirman yang maksudnya: "Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu." (Surah an-Nisa, ayat 29)

Dari Abu Hurairah katanya, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang membunuh diri dengan mencekik lehernya, maka dia akan mencekiknya pula nanti di neraka. Dan sesiapa yang menikam dirinya, maka dia akan menikamnya pula nanti di neraka.”

Kematian akan mendatangi sesiapa sahaja apabila sampai saatnya yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Dari itu kita dilarang mendahului takdir dengan melakukan perbuatan yang dikutuk iaitu membunuh diri sendiri. Hal demikian ini menggambarkan bahawa seseorang itu sudah berputus asa daripada rahmat Allah sedangkan Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya perbuatan membunuh diri bukanlah jalan penyelesai masalah kerana kematian hanyalah satu kerehatan sementara sedangkan di akhirat kelak kita akan diadili dan bakal menerima hukuman daripada Allah.

Maka amat rugilah sekiranya seseorang itu cepat berputus asa dengan masalah hidupnya serta membunuh dirinya kerana jelas sekali membunuh diri sendiri samalah seperti menzalimi diri sendiri.


No comments:

Post a Comment