Wednesday, 2 November 2022

Aku janji sokong Zahid palsu

 
Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menafikan wujudnya dokumen aku janji yang sedang tular, yang didakwa perlu ditandatangani calon UMNO dan BN yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Shamsul Anuar menegaskan, penyebaran dokumen palsu itu adalah usaha jahat pihak tidak bertanggungjawab dan jelas sebagai perancangan memburukkan UMNO dan BN ketika musim PRU.

"Disahkan bahawa aku janji yang disebarkan dan sedang viral ini adalah palsu dan tidak benar. Tiada sebarang aku janji sebegini dilakukan.

"Mohon rakyat Malaysia yang mendapat aku janji palsu ini tidak terpengaruh dengannya.

"Pihak saya amat kesal dengan permainan politik sebegini," kata beliau melalui Facebooknya, hari ini.

Dokumen berkenaan yang tular hari ini, mengandungi senarai aku janji bertarikh 30 Oktober 2022, yang ditandatangani Shamsul Anuar, yang dicalonkan bagi kerusi BN di Parlimen Lenggong.

Dokumen dengan kepala surat UMNO itu, turut memaparkan tandatangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Aku janji itu antara lain menyatakan ikrar calon UMNO dan BN yang menang pada PRU15 untuk mencalonkan serta menyokong Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.

Ia turut menyatakan ikrar untuk menyokong sebarang tindakan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN dalam sebarang perancangan dengan parti atau pakatan politik lain, jika UMNO dan BN gagal membentuk kerajaan secara sendiri selepas PRU15.

No comments:

Post a Comment