Saturday, 19 December 2020

TIDAK DILARANG MEMINTA-MINTA JIKA TERPAKSA

Pada dasarnya perbuatan meminta-minta itu haram dan dilarang oleh agama, namun jika timbul sesuatu darurat atau keadaan terpaksa, maka ia menjadi harus.

Keadaan terpaksa atau darurat itu ialah seorang yang lapar meminta makanan untuk mengisi perutnya kerana dia bimbang jika tidak makan dengan segera, mungkin dia akan jatuh sakit atau mati.

Begitu juga orang yang tidak mempunyai sebarang pakaian, terpaksa meminta pakaian bagi menutup auratnya. Hal seperti ini mengharuskan seseorang itu meminta kepada orang lain selama mana peminta itu tidak berkuasa atau mampu membuat sebarang pekerjaan untuk menyara keperluannya.

Jika dia berupaya untuk bekerja tetapi malas maka tidaklah diharuskan ia meminta-minta daripada orang lain. Ingatlah pesan Rasulullah bahawa orang yang bekerja mencari rezeki itu walaupun hasilnya hanya sedikit, itu adalah lebih baik daripada perbuatan meminta-minta.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Az Zuba’ir bin Al Aawam dari Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya salah seorang daripada kamu membawa tali lalu pergi ke bukit untuk mencari kayu, kemudian dia pikul kayu tersebut ke pasar untuk menjualnya demi menjaga kehormatannya, nescaya yang demikian itu adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik diberi mahupun ditolak.” (Riwayat Bukhari).

Umat Islam hendaklah mengelakkan diri daripada perbuatan meminta-minta kerana perbuatan meminta-minta tanpa sebab itu menjatuhkan maruah serta menjejaskan imejnya.

Malah perbuatan meminta-minta mencerminkan sikap yang negatif masyarakat kerana sentiasa bergantung ihsan dan bantuan daripada orang ramai atau pihak tertentu. Justeru, kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal serta sentiasa bersyukur, sabar dan reda dengan pemberian Allah. Sama-samalah berdoa mudah-mudahan Allah meluaskan rezeki-Nya ke atas kita semua.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang pun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa.” (Hadis riwayat Tabrani). 

No comments:

Post a Comment