Al-Quran dijamin tetap kekal asli, tulen dan
terjaga. Itulah kehebatan al-Quran yang mendapat jaminan khusus penjagaannya
oleh Allah.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kamilah jua
yang menjamin untuk menjaganya (daripada sebarang perubahan, penambahan atau
pengurangan isinya),” (Surah al-Hijr, ayat
9).
Ayat ini bukan calang-calang sifatnya. Bagi
yang mendalami Bahasa Arab, mereka akan faham aspek sastera dan tata bahasa
yang digunakan Allah dalam ayat ini mengandungi maksud pengukuhan berganda
(Taukid).
Walaupun ringkas, ayat ini menegaskan secara
tuntas bahawa Allah sendiri menjamin penjagaan al-Quran daripada sebarang
penyelewengan manusia. Kitab lain seperti Taurat, Zabur dan Injil hanya kekal
namanya sahaja dan tidak pada isinya. Al-Quran pula kekal pada nama dan
isinya.
Ketiga-tiga perkara di atas tidak berlaku
secara kebetulan, sebaliknya digerakkan Allah yang menjamin sendiri penjagaan
al-Quran. Berbeza dengan kitab Taurat atau Injil, penjagaannya diamanahkan
kepada para ulama Yahudi dan Nasrani.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya
Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang
menerangi dengan Kitab itu para nabi yang menyerah diri (kepada Allah)
menetapkan hukum bagi orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan para pendetanya
(menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan
hukum daripada Kitab Allah (Taurat) itu dan mereka pula menjadi penjaga dan
pengawasnya (daripada sebarang perubahan...,” (Surah al-Maidah, ayat 44).
Terbukti penjagaan makhluk seperti mereka
gagal menjamin kesucian kedua-dua kitab tersebut. Banyak sekali para ulama
mereka yang tidak amanah merosakkan isi kitab Allah itu. Inilah sebabnya Allah
sendiri yang menjamin penjagaan al-Quran agar kekal seperti yang diturunkan
kepada Rasulullah SAW.
Ketika mengulas ayat ke-9 surah al-Hijr ini,
Imam al-Qurtubi membawa sebuah kisah hebat yang berlaku pada zaman Khalifah
al-Mamun daripada kerajaan Bani Abbasiyah.
Khalifah al-Mamun selalu mengadakan majlis
perbincangan pelbagai isu dengan rakyatnya. Pada suatu hari seorang lelaki
Yahudi yang segak mewangi lagi penuh wibawa menyertai majlis tersebut. Cakap
lelaki Yahudi ini juga penuh bijaksana dan mempesonakan semua yang hadir.
Setelah selesai majlis, Khalifah al-Mamun
bertanya agama anutannya. Lelaki itu menyatakan dia beragama Yahudi. Al-Mamun
mencadangkan agar dia memeluk Islam dan menjanjikan jawatan yang sesuai dengan kewibawaannya.
Lelaki Yahudi itu menolak.
Selepas setahun, lelaki Yahudi itu memeluk
Islam dan bertemu kembali dengan Khalifah al-Mamun. Bicaranya tentang ilmu
fikah sungguh mempesona dan penuh wibawa. Khalifah agak terkejut dan bertanya
apa rahsia pengislamannya.
Lelaki Yahudi itu lantas menceritakan:
“Setelah aku keluar dari majlismu (wahai Khalifah) aku berhasrat menguji agama
ini (Yahudi, Nasrani dan Islam). Aku pula memiliki tulisan tangan yang sungguh
cantik sebagaimana yang kamu ketahui dan saksikan.
Aku menyalin kitab Taurat dalam tiga salinan
berasingan dan pada ketiga salinan itu aku tambah dan kurangkan isi asalnya.
Selepas itu aku jual ketiga salinan kitab Taurat itu kepada rumah ibadat
Yahudi. Mereka membeli ketiga salinan tersebut (tanpa soal).”
“Selepas itu aku lakukan perkara sama kepada
kitab Injil. Ia juga diterima oleh pihak gereja tanpa soal.
Kemudian aku tulis pula 3 salinan surah
al-Quran bersama penambahan dan pengurangan serta cuba menjualnya kepada
seorang tukang kertas (pencetak) untuk dicetak.
Setelah melihat salinan al-Quran itu
mengandungi penambahan serta pengurangan, dia lantas mencampakkannya jauh dan
enggan membelinya.”
“Selepas peristiwa itu, aku sedar bahawa
kitab ini (al-Quran) memang terjaga (daripada sebarang perubahan atau
pengurangan). Itulah peristiwa yang membawa kepada pengislamanku.” (Tafsir
al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat 9 surah al-Hijr).
Maha Suci Allah! Hebat sekali cara Allah
menjaga kitab-Nya ini. Sungguh beruntung orang Islam yang berbangga, mendalami
dan mengamalkan kitab yang sungguh istimewa ini.
Jika kita masih jauh daripada
kitab ini, berubahlah segera dan jangan hanya tahu berbangga dengan sesuatu
yang jarang kita sentuh. Semoga Allah merahmati kita semua dengan iman yang
sebenar kepada al-Quran.
No comments:
Post a Comment