Sunday, 18 October 2026

TETUANG TANDUK KERBAU

 
Tetuang tanduk kerbau. Satu alat yang digunakan untuk komunikasi masyarakat Melayu pada masa dahulu.

Diperbuat daripada tanduk kerbau jantan yang berongga atau lompang untuk menghasilkan bunyi gema yang kuat.

Tanduk kerbau betina lebih tumpat sesuai untuk membuat hulu dan sarung parang berbanding tanduk kerbau jantan yang lompang hanya sesuai dijadikan tetuang.

Bunyi terhasil daripada tiupan tetuang mampu sampai dan didengari dalam jarak 5 kilometer dari lokasi ia ditiup bagi menyampai mesej seperti berlaku bencana atau majlis keramaian pada zaman dahulu.

Tiupan tetuang agak eksklusif kerana penggunaan hanya diperlukan dalam situasi tertentu seperti menyambut kerabat diraja, tetamu kehormat, majlis keraian, panggilan berhimpun, kecemasan dan lain-lain.

Pada masa dahulu tetuang ini tidak dimiliki oleh sebarangan orang, biasanya tetuang ini akan dipegang oleh orang-orang kenamaan , penghulu, ketua kampung, penghulu atau individu yang diamanahkan sebagai peniup dan melakukan apabila diarahkan.

Ada irama tertentu yang digunakan untuk menandakan perkara apa yang ingin disampaikan kepada penduduk kampung.

Di kalangan nelayan, tetuang ditiup sebagai tanda masa untuk ke laut.

Walaupun nampak mudah untuk meniupnya namun bukan sebarang orang boleh melakukannya kerana memerlukan kaedah getaran pada bibir,

Penggunaan tetuang dalam kehidupan masyarakat Melayu lampau menunjukkan kearifan tempatan masyarakat Melayu dengan menggunakan sumber yang berada di sekeliling mereka untuk membuat sesuatu yang berguna dalam kehidupan seharian mereka. 


No comments:

Post a Comment