Keistimewaan Bukit Keteri. Bukit batu kapur ini terletak di
Kampung Bukit Keteri, 10 km dari Kangar, Perlis.
Bukit ini sangat popular dengan aktiviti panjat tebing batu
semula jadi.
Laluan mendaki di Bukit Keteri ditemui melalui program
Ekspedisi Mammut pada tahun 2007.
Kemudian komuniti Perlis Climber membangunkan Bukit Keteri sebagai
lokasi aktiviti memanjat tebing batu semula jadi sejak 2009, membuahkan hasil
apabila kawasan itu kini menjadi tumpuan peminat sukan tersebut.
Berkat usaha kumpulan berkenaan menjadikan Bukit Keteri yang
merupakan antara laluan mendaki paling sukar di Asia, bukan sahaja menjadi
tumpuan peminat sukan tersebut dari negara ini malah menarik perhatian pendaki
dari seluruh dunia.
Bukit ini berketinggian 131 meter dan tahap kesukaran bagi
aktiviti panjat tebing batu semula jadi paling sukar di Asia berdasarkan penilaian
Perlis Climbers.
Bukit Keteri merupakan pembentukan batu kapur karst yang
terkenal. Keunikan Bukit Keteri ini adalah mempunyai menara dan gua batu kapur.
Menara batu kapur yang dikelilingi oleh sawah padi
menawarkan satu pemandangan yang indah kepada pendaki ketika berada di puncak
bukit ini.
Panorama sawah padi menghijau cukup memukau dapat dilihat
dari pintu masuk gua yang berada pada ketinggian 65 meter.
Pendaki akan mengambil masa hanya beberapa jam untuk sampai
ke Belly Button yang menawarkan pemandangan indah permukaan dinding batu yang
tegak memberikan satu cabaran kepada pendaki yang meminati aktiviti
mendaki.
Keadaan dalam gua sangat luas dan memiliki ruang-ruang kecil
yang akan membawa peserta ke bahagian dalam gua.
Sebaik masuk, terdapat dua laluan untuk ke tingkap gua iaitu
Mata Timur dan Belly Button.
Menariknya, di tingkap Belly Button, pendaki boleh melihat
pemandangan masjid, jalan raya dan kehidupan harian penduduk di sekitar.
Melangkah terus ke ruang lebih dalam, peserta menembusi
bahagian sebelah lagi yang dipanggil sebagai Robot Wall.
Gua Bukit Keteri terhasil daripada pembentukan lapisan batu
kapur Formasi Chuping itu berusia kira kira 290 juta tahun.
Bukit Keteri bentuknya memanjang hampir 600 meter ke arah
utara-selatan dengan kelebaran 20- 50 meter, dan mempunyai dua puncak. Gua
boleh diperhatikan pada beberapa aras ketinggian.
Aras bawah di kaki bukit kadang-kadang berair di musim hujan
dan terdapat gua yang terletak pada aras pertengahan bukit.
Suatu masa dahulu petani di sekitar bukit ini mengambil tahi
kelawar daripada gua-gua yang ada untuk dijadikan baja tanaman.
Bukit ini pernah digunakan oleh manusia prasejarah. Terdapat
tengkorak, serpihan tulang haiwan dan cengkerang serta alat batu ditemui di bahagian
kaki bukit.
Tapak di Bukit Keteri ini mempunyai kepentingan saintifik,
penyelidikan, rekreasi dan juga arkeologi, dan bertaraf kebangsaan.
Kredit pemilik gambar


No comments:
Post a Comment