Yusof Qaradhawi berkata: “Mensia-siakan
waktu, walaupun hanya sedetik sekalipun, sama halnya dengan mensia-siakan
kehidupan. Bagi seseorang Muslim sedetik saja dia tidak dapat memanfaatkan
waktunya, maka akan kehilangan sebahagian daripada kehidupannya.”
Ungkapan itu jelas menunjukkan kepada kita betapa perlunya setiap individu meningkatkan usaha dan nilai kehidupan setiap masa, sehari demi sehari dan setahun demi setahun sehinggalah meninggal dunia.
Setiap detik kehidupan memerlukan hijrah atau perubahan ke arah kebaikan yang tidak terhenti-henti.
Masa untuk berubah tidak kira waktu. Setiap perkara buruk perlu digantikan kebaikan dengan segera. Mana yang baik dikekalkan atau ditambahkan lagi. Inilah yang dimaksudkan hijrah perlu dilakukan sepanjang masa.
Jika kita bertangguh bermakna akan ada kebaikan yang dicapai berkurangan berbanding sepatutnya atau keburukan akan terus berlaku hingga menambahkan lagi kerugian.
Namun begitu, kita tentu lebih teruja untuk melakukan perubahan setiap kali masuk tahun baru. Mungkin perubahan itu melibatkan sesuatu azam yang lebih besar dan khusus. Perkara ini tidak salah sekiranya untuk tujuan kebaikan. Menjadikan sambutan tahun baru atau awal tahun sebagai pencetus semangat memang digalakkan.
Sesungguhnya, kita harus menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh masa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya.
Hanya orang yang tabah dapat menghadapi setiap cabaran hidup dengan baik. Hidup adalah perlumbaan untuk merebut peluang yang ada yang akan dimenangi oleh individu yang pantas dan bijak merebutnya.
No comments:
Post a Comment