Perniagaan berbilang tingkat (multi-level
marketing - MLM) atau lebih dikenali jualan langsung mendapat sambutan di
kalangan rakyat Malaysia. Terdapat peraturan atau syarat perlu dipatuhi bagi
memastikan perniagaan itu halal dijalankan atau disertai oleh orang Islam.
Antara unsur yang dilarang dalam MLM ialah:
(1) Mengandungi Unsur Skim Piramid
(a) Skim piramid atau skim cepat kaya
adalah tidak mematuhi prinsip-prinsip Syariah kerana berteraskan unsur
perjudian atau pertaruhan (qimar) melalui permainan wang (money
game) iaitu downline yang baharu ditaja
oleh upline akan kehilangan wang penyertaan jika tidak berusaha
mencari downline yang lain.
(b) Kontrak bertulis antara syarikat dan
peserta tidak disediakan.
(c) Pelan memfokuskan kepada pencarian atau
perekrutan ahli baharu (downline) semata-mata atau terutamanya dan
bukan dengan tujuan menjalankan perniagaan melalui aktiviti pergerakan produk
kepada pengguna-pengguna akhir secara sewajarnya.
(d) Pendapatan peserta dan syarikat dalam
skim piramid atau skim cepat kaya dijana daripada yuran penyertaan ahli baharu
semata-mata atau terutamanya dan bukan hasil daripada penjualan barang atau
perkhidmatan.
(e) Pembelian wajib barang atau
perkhidmatan atau harta tidak ketara atau bayaran minimum atau kehendak jualan
dikenakan sebagai syarat untuk melayakkan seseorang mendapat bonus atau faedah
ekonomi lain dalam skim terhadap pembelian atau jualan peribadi atau pembelian
atau jualan ahli di bawahnya.
(f) Peserta tidak diberi pilihan dan
dikehendaki melakukan "inventory front-loading” iaitu membeli
barang atau perkhidmatan dalam amaun yang tidak munasabah yang melebihi
jangkaan boleh dijual atau digunakan dalam suatu tempoh masa yang munasabah.
(g) Pembelian pangkat atau pembelian lebih
daripada satu keahlian merupakan pendekatan yang mengandungi elemen skim
piramid dan dengan itu adalah bertentangan dengan hukum syarak.
(h) Syarikat yang menetapkan struktur
pembayaran bonus mengikut susunan hierarki yang ketat tanpa membenarkan peserta
melangkau upline dengan tidak mengambil kira keupayaan dan usaha
sebenar peserta adalah mengandungi elemen skim piramid yang bertentangan dengan
hukum syarak.
(i) Polisi bayar
balik (refund) atau polisi beli balik (buy back) tidak
disediakan
(j) Tidak membenarkan peserta menarik diri
daripada menyertai pelan.
(2) Mengandungi Unsur Penipuan, Penindasan,
Manipulasi dan Eksploitasi Dalam Pelan Pemasaran dan Pelan Pemberian Insentif
(a) Syarikat hendaklah memastikan bahawa
pelan pemasaran dan pelan pemberian insentif adalah telus dan adil serta bebas
daripada sebarang bentuk penipuan, penindasan, manipulasi dan eksploitasi yang
boleh memperdaya ahli atau pengguna.
(b) Sebarang unsur penipuan, penindasan,
manipulasi dan eksploitasi oleh ahli atau pengedar dalam usaha mencari ahli
baharu semata-mata atau terutamanya untuk meningkatkan sasaran pencapaian
kumpulan adalah ditegah oleh hukum syarak.
"Manipulasi" ertinya segala
tindakan dan selok-belok untuk memperdaya orang atau mempengaruhi pendirian
orang lain tanpa disedari orang itu.
"Eksploitasi" ertinya perbuatan
(tindakan) mengambil kesempatan untuk mempergunakan seseorang atau sesuatu
keadaan dan secara tidak adil demi kepentingan atau keuntungan diri sendiri.
(3) Mengandungi Unsur Paksaan
(a) Usaha yang bertujuan untuk mencari ahli
baharu hendaklah dibuat menerusi pendekatan dan kaedah yang telus dan berhikmah
tanpa unsur paksaan yang boleh mengganggu atau mendatangkan kegelisahan dan
kegusaran kepada individu yang didekati.
(b) Selepas setiap sesi penerangan tentang
profil syarikat, produk, pelan pemasaran dan pelan pemberian insentif, individu
yang didekati mestilah diberi ruang dan masa untuk berfikir bagi membuat
pertimbangan sama ada ingin menjadi peserta atau menolak pelawaan tersebut.
(c) Peserta hendaklah diberi kebebasan
sepenuhnya dalam pembelian dan tidak didesak untuk membeli pakej barangan
tertentu untuk memenuhi kehendak jualan bagi melayakkan mereka mendapat
kedudukan atau bonus dalam skim sedangkan mereka berkemungkinan tidak
memerlukan beberapa barang dalam pakej tersebut atau memerlukan barang-barang
yang ditawarkan dalam pakej tersebut tetapi tidak pada jumlah yang begitu banyak
seperti yang ditetapkan.
(4) Mengandungi Unsur Pembaziran
(a) Pembelian dalam kuantiti yang banyak
tanpa justifikasi yang wajar semata-mata untuk mendapatkan bonus yang
ditawarkan tanpa mempunyai strategi pemasaran yang sewajarnya.
(b) Pembelian produk yang ditawarkan oleh
syarikat hendaklah berlandaskan kepada keperluan kepenggunaan sebenar dan/atau
keupayaan untuk menjual produk tersebut.
(5) Menjanjikan Keuntungan Tetap Tanpa
Usaha
Mana-mana syarikat jualan langsung yang
menjanjikan keuntungan tetap kepada peserta melalui pemberian komisen/bonus
tanpa sebarang usaha yang jelas meliputi aktiviti promosi dan penjualan barang
atau perkhidmatan adalah bertentangan dengan hukum syarak kerana mengandungi
unsur riba.
(6) Mengandungi Unsur Syubhah
Dalam konteks perniagaan jualan langsung
yang berteraskan multi-level marketing, syarikat hendaklah memastikan
bahawa pelan pemasarannya adalah bebas daripada perkara yang tidak jelas
atau syubhah dalam setiap aspek perniagaan tersebut meliputi pelan
pemasaran, pemberian insentif, barang dan perkhidmatan dan perkara-perkara lain
yang berkaitan dengannya bagi memastikan perniagaan yang dijalankan adalah
mematuhi prinsip-prinsip syariah yang telah digariskan oleh Islam.
No comments:
Post a Comment