
Sesungguhnya Islam itu bersaudara dan dikehendaki mengeratkan perpaduan serta diharamkan memutuskannya. Setiap mukmin mestilah saling tolong-menolong dalam segala hal yang mendorong kebaikan umat, kemaslahatan dan kebahagiaan bersama. Memutuskan silatulrahim termasuk dalam perkara pembalasan dosa besar di sisi Allah SWT.
Mukmin yang bertamadun adalah mereka yang berjaya mentadbir, mengurus dan
mengembangkan kehidupannya. Justeru keteguhan dan keutuhan masyarakat
bergantung kepada pengurusan kemantapan ekonomi, kestabilan politik,
kesejahteraan sosial dan yang terpenting ialah perpaduan di kalangan
anggotanya, saling tolong-menolong dan berhubung rapat antara satu sama lain.
Ingatlah,
bahawa kejayaan dan kecemerlangan sesebuah negara terletak kepada perpaduan di
kalangan rakyatnya. Begitu juga sebaliknya, perpecahan adalah punca kejatuhan
dan kemusnahan.
Sehubungan dengan itu, asas-asas kepada perpaduan mestilah dijana dengan
pelbagai gerakan ke arah perpaduan, perlu dirintis supaya hasrat untuk
membentuk sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat
direalisasikan.
Sebenarnya keutuhan perpaduan sesama masyarakat Islam tidak akan tercapai,
kecuali selepas terlaksana beberapa prinsip asas seperti tolong-menolong dalam
menggalakkan kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ia dimantapkan lagi
melalui aspek moral yang baik, berakhlak mulia seperti sayang-menyayangi,
bersikap toleransi dan lain-lain lagi.
Dalam menjalinkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan
Islam pula, model negara Islam Madinah pimpinan Rasulullah SAW hendaklah
dijadikan contoh. Sebagaimana pada awal-awal hijrah, orang-orang Islam
merupakan golongan minoriti berbanding berbanding dengan penganut Kristian dan
Yahudi yang mendominasi Madinah ketika itu.
Namun melalui penonjolan akhlak dan moral yang terpancar dalam bentuk teori dan
praktikal, ditambah dengan keadilan pemerintahan dan pengurusanIslam yang
disesuaikan dengan masyarakat majmuk ketika itu, maka tertegak akhirnya sebuah
negara tang kuat, aman dan damai, bersatu padu di bawah pimpinan Nabi Muhammad
SAW.
Pendekatan ini diperkukuhkan melalui tindakan, seperti pembinaan masjid sebagai
institusi sosial. Masjid Nabawi dan Masjid Quba adalah model institusi terawal
Islam dalam menjana perpaduan.
Masjid bukan setakat berfungsi sebagai tempat menunaikan solat semata-mata,
malah berperanan sebagai lokasi strategik untuk baginda menyusun dan membentuk
masyarakatnya, membangunkan aqidah umat Islam, melaksanakan urusan syariah dan
menjalinkan hubungan sesama rakyat melalui akhlak yang mulia.
Nabi Muhammad SAW juga mengambil langkah mempersaudarakan umat Islam menerusi
ikatan ukhwah sesama Islam. Kaum Aus dan Khuzraj yang sekian lama bersengketa
telah telah berjaya didamaikan.
Persefahaman ini mampu dipatuhi oleh semua ahli masyarakat tanpa membezakan
kaum, bangsa dan agama. Sama-sama berganding bahu mentaatainya sebagai langkah
membentuk kesatuan ummah dan perpaduan kaum di Madinah.
Rasulullah SAW memperteguhkan kewajipan memelihara hubungan persaudaraan yang
menjana kepada perpaduan dan kesatuan ummah. Ini terbukti apabila Baginda
ditanya oleh seorang sahabat tentang amalan dapat memasukkan ke syurga.
Sabda Rasulullah bermaksud: "Engkau beribadah kepada Allah dan tidak
menasyrikkannya dengan sesuatu, mendirikan solat, membayar zakat dan
menghubungkan persaudaraan."
Perpaduan dalam Islam bukan sekadar hubungan baik sesama orang Islam sahaja,
malah merangkumi kepada kaum bukan Islam jua. Sejarah di zaman Rasulullah SAW
mencatatkan bahawa masyarakat Yahudi dan Kristian ketika itu hidup aman dan
damai di Madinatul Munawwarah, kerana hak mereka tidak dicerobohi oleh umat
Islam.
Kesan keadilan Islam inilah, kelompok Islam yang awalnya minoriti menjadi
majoriti apabila kaum bukan Islam beramai-ramai menganuti Islam kerana tertarik
hati dengan kebaikan yang ditonjolkan oleh umat Islam yang terserlah melalui
akhlak dan perlakuan terpuji penganut-penganutnya.
Keamanan
merupakan hak seluruh warga dunia. Piagam dan cita-cita inginkan keamanan
dipegang oleh semua agama dan masyarakat bertamadun. Tidak ada manusia
berfikiran waras inginkan kepada suasana tidak aman. Tindakan melancarkan
peperangan, pembunuhan dan kekerasan hanya dilakukan manusia zaman kuno untuk
merebut sesuatu dikehendaki.
Sesungguhnya
Islam merupakan agama keamanan dan kesejahteraan. Islam menolak sebarang bentuk
kekacauan dan keganasan. Seluruh umat Islam perlu menghayati erti persaudaraan
sama ada sesama Islam, maupun dengan penganut agama lain.
No comments:
Post a Comment