Maksud
wakaf ialah sesuatu diberikan atau disediakan untuk kegunaan yang
mendatangkan kebaikan kepada orang ramai. Ia salah satu bentuk derma yang
diberikan untuk manfaat orang ramai.
Manfaat harta atau sesuatu diwakafkan dapat memberi kebaikan kepada sekelompok
orang atau orang ramai yang dapat digunakan secara berpanjangan untuk tempoh
tertentu atau sehingga tidak dapat digunakan.
Harta wakaf tidak boleh dijual dan tidak boleh diwariskan. Harta wakaf pada hakikatnya adalah menyerahkan kepemilikan harta manusia menjadi milik Allah atas nama kepentingan agama.
Di sebalik harta yang memberi manfaat kepada orang ramai, hikmah di sebalik wakaf adalah membuka ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan cara mengalirkan harta di jalan-Nya.
Tiada amalan yang paling disukai seorang mukmin selain amalan yang boleh mendekatkan dirinya dengan Allah SWT dan menjadikan dirinya dikasihi Allah SWT.
Melalui amalan wakaf seorang Muslim berpeluang menzahirkan pengabdian dan cintanya kepada Allah SWT. Sesungguhnya perasaan cintakan Allah SWT hanya dapat dizahirkan melalui amalan dan pelaksanaan.
Allah SWT berfirman maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.” (Surah Ali Imran, ayat 92)
Wakaf juga dapat menunaikan impian seorang mukmin untuk melihat kebajikannya sentiasa berterusan walaupun selepas kematiannya dan ganjaran pahala sentiasa diperoleh selepas meninggal dunia.
Harta wakaf memberi pahala berkekalan biarpun selepas meninggal dunia selagi harta itu memberi manfaat kepada orang lain.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apabila seorang manusia mati segala amalannya akan terputus kecuali daripada tiga sumber; sedekah jariah atau ilmu yang boleh dimanfaatkan atau anak salih yang mendoakannya. (Hadis riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment