Monday 27 November 2017

Peningkatan kes buang bayi

Gejala pembuangan bayi di negara menunjukkan peningkatan. Ada ketikanya, bayi baru dilahirkan ditamatkan riwayatnya dengan cara hina seperti dibuang di sungai, tong sampah, mangkuk tandas dan sebagainya. Ada pula bernasib baik, bayi itu ditinggalkan di tempat selamat dan akan ada yang mengambilnya.  

Sebenarnya, gejala pembuangan bayi adalah cerminan daripada gaya hidup tidak sihat yang ditunjukkan sekelompok masyarakat hari ini, tanpa mengira kaum atau agama. Masyarakat kita sedang melalui satu fasa genting. Persoalan moral dan akhlak bukan lagi pertimbangan utama dalam setiap keputusan.

Gaya hidup berteraskan liberalisme semakin berakar dalam masyarakat. Penyakit ini bukan saja berjangkit kepada golongan elit atau bangsawan, tetapi kepada golongan marhaen dan rakyat bawahan. Akar pemikiran liberalisme ini bertunjangkan pandangan alam kebaratan.

Bagi masyarakat, persoalan akhlak bukan lagi milik mutlak ahli agama atau ulama Muslim. Akhlak boleh ditafsirkan sesiapa saja asalkan perkara itu diterima ramai dan menjadi norma masyarakat. Boleh jadi suatu perbuatan itu dikira berakhlak di sisi ulama, akan tetapi tidak boleh menyalahkan perbuatan, selain apa yang ulama iktiraf sebagai berakhlak.

Gejala relativisme dengan merungkaikan persoalan akhlak tidak berdasarkan aspek abadi adalah suatu kekeliruan yang nyata. Persoalan ini berkait rapat dengan pandangan dunia kebaratan yang semakin berakar dalam masyarakat kita.

Antara teras pertembungan Islam dan Barat ialah Islam tidak mengiktiraf materialisme sebagai satu fahaman. Manakala Barat menjadikan materialisme sebagai satu teras fahaman. Ini juga bukan bermaksud Islam menolak konsep materalistik, seperti pencarian harta, hak pemilikan harta dan penjagaan harta, namun pada masa sama mengiktiraf bahawa peranan kerohanian adalah pengimbang kepada tuntutan materialisme yang melingkari kita.  

Disebabkan kefahaman dan keyakinan faktor kerohanian inilah melahirkan sifat mulia dan abadi dalam kehidupan kita, seperti amanah, berakhlak mulia, jujur, tawaduk, rasa kehambaan dan sebagainya.

Barat menjadikan faham materialisme sebagai faktor dominan dalam pandangan alam mereka. Aspek kerohanian atau ilmu wahyu itu tidak diiktiraf sebagai penting kerana ia tidak boleh dicapai melalui kajian saintifik dan eksperimen di dalam makmal. Faham materialisme berakar dalam pandangan alam mereka lalu menyebabkan tindakan mereka selari dengan kefahaman.

Di Barat, perbuatan membuang bayi tidak termasuk dalam dosa besar, kerana mereka tidak memasukkan azab dan dosa dalam kamus kehidupan selepas kematian. Malah di Barat, perbuatan zina dan seks bebas sudah menjadi norma dan budaya mereka.

Lalu, tidak menjadi isu jika mereka melahirkan anak luar nikah akibat perbuatan songsang. Mereka mempunyai kaedah pengurusan 'jenayah' sendiri seperti penggunaan kondom secara bebas atau pengguguran anak di klinik.

Aspek pengurusan jenayah yang kemas dan teratur ini adalah asas kepada 'berjayanya' perbuatan jenayah mereka. Jika mereka faham bahawa seks bebas adalah dosa dan mendatangkan mudarat, sudah pasti kaedah mengurus 'jenayah' mereka akan kelihatan janggal.

Bagi mereka, sudah buat berani tanggung! Jadi, isu pembuangan bayi tidak timbul di Barat kerana mereka mengurus dengan baik dan kemas 'jenayah' yang dilakukan.

Lain pula dengan masyarakat kita kerana aspek keagamaan masih menebal. Cara pengurusan jenayah itu seakan janggal dan tidak teratur. Dalam kes pembuangan bayi, wanita yang melahirkan bayi itu tercermin sikap rasa bersalah kerana melahirkan anak luar nikah, lalu mengambil keputusan sama ada menamatkan riwayat bayi ataupun diselamatkan.

Boleh dikatakan, gejala pembuangan bayi berkaitan kekeliruan pandangan golongan remaja. Kekeliruan tidak saja kepada orang awam, malah melekat juga kepada golongan ilmuwan dan pendidik yang dikategorikan sebagai lapisan atas. Mereka menyebarkan faham kebaratan melalui institusi pendidikan kepada umat Islam. Tidak keterlaluan juga, mereka semacam 'ejen' tidak rasmi pihak Barat.

Atas dasar itu masyarakat harus dibimbing supaya pulang ke pangkal jalan dengan mengajak perlakuan yang berteraskan agama. Persoalan ini harus ditangani dengan kaedah pendidikan kesedaran dan pencegahan.

Kedua-dua aspek, iaitu didik dan cegah mesti berjalan seiring. Program pendidikan kesedaran harus dijadikan modul utama, terutama di kalangan generasi muda. Pada masa sama, budaya hedonisme perlu disekat sebijak mungkin.

No comments:

Post a Comment