Monday 27 November 2017

Tinggal bersama tanpa nikah

Laporan Trend Sosial Pejabat Statistik Kebangsaan Britain menunjukkan bilangan pasangan di negara berkenaan mengikat tali perkahwinan hanya setelah mempunyai cahaya mata meningkat ketara.

Antara faktor utamanya adalah disebabkan peningkatan bilangan pasangan yang tinggal bersama tanpa ikatan yang sah. Selain itu, masalah ibu atau bapa tunggal turut meningkat.

Masalah itu mencetuskan kebimbangan ramai aktivis atau kumpulan properkahwinan yang menyifatkan ia boleh menjejaskan struktur sosial yang amat penting. Tidak dinafikan bahawa dalam semua masyarakat amat mementingkan institusi keluarga sebagai satu tonggak kesempurnaan hidup.

Laporan itu turut menunjukkan anak-anak yang dibesarkan pasangan suami isteri lebih cemerlang berbanding anak ibu atau bapa tunggal. Ikatan kasih sayang yang diperoleh dari kedua ibu bapa tentunya lebih sempurna berbanding hanya mendapat mana-mana satu sahaja.

Laporan itu mendedahkan cara hidup masyarakat Barat yang semakin pincang. Apa yang berlaku di Barat itu tidak sepatutnya berlaku di negara kita. Cara hidup beragama, khususnya Islam, mementingkan peraturan yang ditetapkan syariat.

Perkahwinan adalah cara yang ditetapkan syariat untuk pasangan lelaki dan perempuan memenuhi keperluan zahir dan batin. Malah, dalam Islam, perkahwinan adalah satu ibadah. Kelebihan ini sepatutnya menggalakkan pembentukan institusi perkahwinan. 

Dalam pada ini, kita harus berwaspada memandangkan penularan budaya daripada Barat itu semakin terkesan di negara kita. Muda mudi yang inginkan cara hidup bebas mencuba kelainan dengan mengetepikan tuntuan syariat.

Ini dapat dilihat dengan meningkatnya kes pengguguran kandungan, pembuangan bayi dan pendaftaran bayi luar nikah. Perkara ini tidak patut dipandang mudah biarpun peratusan bilangannya masih di tahap rendah.

Hidup tanpa ikatan perkahwinan tidak memerlukan restu keluarga dan tidak melibatkan proses undang-undang menjadi pilihan sebagai cara memenuhi tuntuan seks. Atas konsep itu, jika mana-mana pasangan setuju untuk tinggal bersama untuk memenuhi tuntutan seks, mereka boleh mengambil keputusan segera. 

Begitu juga, tidak memerlukan sebarang peraturan undang-undang sekiranya pasangan berkenaan ingin berpisah. Mereka tidak berhak untuk membuat tuntutan harta dan beberapa perkara lain lain yang lazimnya berlaku dalam perkahwinan sah.

Budaya ini kononnya memberi satu bentuk hubungan yang lebih bebas yang melambangkan hak kebebasan mutlak yang diamalkan di Barat. Peraturan agama dianggap tidak lagi sesuai diamalkan dalam hidup era milinium ini.

Peraturan tersebut sebenarnya tidak ubah seperti kehidupan masyarakat haiwan.  Kebebasan yang dibanggakan adalah lambang kehancuran nilai kemanusiaan. Manusia kembali hidup ke alam kuno yang mana tiada peratuan membatasi kehidupan.

Justeru, masyarakat di negara kita perlu memandang jijik kepada cara hidup ini. Pegangan agama dan budaya masyarakat Timur perlu dijadikan benteng untuk menghalang penularan budaya masyarakat binatang itu. Jangan pula masyarakat kita lebih teruk berbanding pasangan di Barat.

Usaha menyedarkan rakyat tentang keburukannya perlu dilakukan secara meluas. Usaha mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada keburuk mesti diutamakan dalam kehidupan seharian.    

Mengamalkan cara hidup seks bebas atau tinggal bersama tanpa ikatan perkahwinan mencetuskan fenomina baru muda mudi di kota raya. Pada mereka perkahwinan satu yang membebankan yang memerlukan komitmen terhadap pasangan, tambah lagi apabila ada cahaya mata.

Golongan ternama, berpendidikan tinggi dan kaya yang sudah berumah tangga turut terjebak dengan amalan jijik itu. Mereka memiliki gundik yang ditempat di apartment mewah untuk melepaskan nafsu.  Malang sekali mereka tidak berkahwin secara sah sedangkan Islam membenarkan berpoligami.

Selain budaya tinggal bersama, amalan yang lebih banyak berlaku di negara kita ialah pasangan melempiaskan nafsu masing-masing berkala di tempat-tempat tertentu. Kegiatan mereka agak tersorok untuk mengelak daripada pengetahuan ahli keluarga dan pihak berkuasa agama.

Namun, pihak berkuasa agama dapat menghidu perbuatan itu dan banyak pasangan didakwa di mahkamah syariah atas kesalahan khalwat. Amat mendukacitakan statistik tangkapan kesalahan syariah semakin meningkat setiap tahun. 

Pasangan yang sudah bersedia untuk memasuki fasa perkahwinan perlu lebih bertanggungjawab dengan melakukan perkara mengikut kehendak agama Islam. Islam amat mengambil berat soal perkahwinan untuk kebahagiaan dan keharmonian manusia.  

Kita memerlukan sebuah masyarakat yang ditunjungi oleh kekuatan institusi keluarga untuk terus menikmati kehidupan yang sejahtera, aman, saling menghormati, zuriat yang bersih dan diredai Allah.

No comments:

Post a Comment