Monday, 20 November 2017

DOA TANDA PENGHARAPAN


Doa yang dipohon merupakan peringatan seorang hamba kepada Penciptanya. Ingatan tersebut merupakan susunan kata yang disenangi oleh Allah SWT, yang sentiasa mahu mendengar suara hamba-Nya yang dikasihi. Kerana itu, seseorang yang tahu akan hakikat atau rahsia qada dan qadar akan terus berdoa sambil berusaha, tidak kira doanya terlaksana ataupun tidak.

Jika seseorang itu memahami bahawa apabila takdir itu telah termaktub di Loh Mahfuz, tidak ada makhluk yang boleh mengubahnya. Ada rahsia ketuhanan terhadap qada, qadar yang tidak mudah untuk difahami oleh hamba-hamba-Nya.

Setiap individu mempunyai keinginan dan keperluan masing-masing sama ada positif atau negatif kerana mereka terpaksa menghadapi pelbagai ragam hidup seperti cabaran, halangan dan dugaan. Mereka berdoa kepada Allah memohon limpah perkenan dan rahmat-Nya supaya hajat terkabul.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak boleh ditolak qadar Allah melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibubapa. (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi).

Sesungguhnya Allah SWT amat dekat dengan hamba-Nya.  Firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku (Allah), maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku kabulkan permohonan mereka yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, ayat 186).        

Firman Allah SWT yang bermaksud: Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (al-Baqarah: 186).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak. Pertama, orang yang berpuasa hingga ia berbuka. Kedua, imam yang adil dan ketiga, doa orang yang dizalimi." (riwayat Tirmizi)

Dalam hal berdoa orang berpuasa dibandingkan dengan pemimpin yang adil dan orang dizalimi. Doa orang berpuasa mustajab. Didengar, tidak ditolak Allah SWT, bahkan dimakbulkan, insya-Allah.  

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang berpuasa memiliki doa yang tidak tertolak pada saat berbuka." (riwayat Ibnu Majah)

Sesungguhnya, salah satu cara untuk membebaskan kesempitan hidup ialah dengan melazaimkan kalimah istighfar.  Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang tetap melakukan istighfar, maka Allah SWT akan membebaskannya daripada segala kesusahan dan melapangkannya daripada setiap kesempitan serta akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak diduganya." (riwayat Abu Daud)

Sedangkan ketika menerima kurniaan atau nikmat, Nabi SAW menganjurkan kita agar membaca sebagaimana maksud hadis berikut, “Setiap orang yang diberi kurnia Allah SWT lalu ia membaca Alhamdulillah maka Allah SWT akan memberikan yang lebih utama daripada apa yang telah ia terima." (riwayat Ibnu Majah)

No comments:

Post a Comment