Tuesday, 3 May 2016

AL QURAN KEKAL ASLI

Al-Quran dijamin tetap kekal asli, tulen dan terjaga. Itulah kehebatan al-Quran yang mendapat jaminan khusus penjagaannya oleh Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kamilah jua yang menjamin untuk menjaganya (daripada sebarang perubahan, penambahan atau pengurangan isinya),” (Surah al-Hijr, 15:9).

Ayat ini bukan calang-calang sifatnya. Bagi yang mendalami Bahasa Arab, mereka akan faham aspek sastera dan tata bahasa yang digunakan Allah dalam ayat ini mengandungi maksud pengukuhan berganda (Taukid). Walaupun ringkas, ayat ini menegaskan secara tuntas bahawa Allah sendiri menjamin penjagaan al-Quran daripada sebarang penyelewengan manusia. Kitab lain seperti Taurat, Zabur dan Injil hanya kekal namanya sahaja dan tidak pada isinya. Al-Quran pula kekal pada nama dan isinya.

Ketiga-tiga perkara di atas tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya digerakkan Allah yang menjamin sendiri penjagaan al-Quran. Berbeza dengan kitab Taurat atau Injil, penjagaannya diamanahkan kepada para ulama Yahudi dan Nasrani sebagaimana firman Allah:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi dengan Kitab itu para nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan para pendetanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum daripada Kitab Allah (Taurat) itu dan mereka pula menjadi penjaga dan pengawasnya (daripada sebarang perubahan...,” (Surah al-Maidah 5:44).

Terbukti penjagaan makhluk seperti mereka gagal menjamin kesucian kedua-dua kitab tersebut. Banyak sekali para ulama mereka yang tidak amanah merosakkan isi kitab Allah itu. Inilah sebabnya Allah sendiri yang menjamin penjagaan al-Quran agar kekal seperti yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Ketika mengulas ayat ke-9 surah al-Hijr ini, Imam al-Qurtubi membawa sebuah kisah hebat yang berlaku pada zaman Khalifah al-Mamun daripada kerajaan Bani Abbasiyah. Khalifah al-Mamun selalu mengadakan majlis perbincangan pelbagai isu dengan rakyatnya. Pada suatu hari seorang lelaki Yahudi yang segak mewangi lagi penuh wibawa menyertai majlis tersebut. Cakap lelaki Yahudi ini juga penuh bijaksana dan mempesonakan semua yang hadir.

Setelah selesai majlis, Khalifah al-Mamun bertanya agama anutannya. Lelaki itu menyatakan dia beragama Yahudi. Al-Mamun mencadangkan agar dia memeluk Islam dan menjanjikan jawatan yang sesuai dengan kewibawaannya. Lelaki Yahudi itu menolak.

Selepas setahun, lelaki Yahudi itu memeluk Islam dan bertemu kembali dengan Khalifah al-Mamun. Bicaranya tentang ilmu fikah sungguh mempesona dan penuh wibawa. Khalifah agak terkejut dan bertanya apa rahsia pengislamannya.

Lelaki Yahudi itu lantas menceritakan: “Setelah aku keluar dari majlismu (wahai Khalifah) aku berhasrat menguji agama ini (Yahudi, Nasrani dan Islam). Aku pula memiliki tulisan tangan yang sungguh cantik sebagaimana yang kamu ketahui dan saksikan.

Aku menyalin kitab Taurat dalam tiga salinan berasingan dan pada ketiga salinan itu aku tambah dan kurangkan isi asalnya. Selepas itu aku jual ketiga salinan kitab Taurat itu kepada rumah ibadat Yahudi. Mereka membeli ketiga salinan tersebut (tanpa soal).”
“Selepas itu aku lakukan perkara sama kepada kitab Injil. Ia juga diterima oleh pihak gereja tanpa soal.
Kemudian aku tulis pula 3 salinan surah al-Quran bersama penambahan dan pengurangan serta cuba menjualnya kepada seorang tukang kertas (pencetak) untuk dicetak. Setelah melihat salinan al-Quran itu mengandungi penambahan serta pengurangan, dia lantas mencampakkannya jauh dan enggan membelinya.”

“Selepas peristiwa itu, aku sedar bahawa kitab ini (al-Quran) memang terjaga (daripada sebarang perubahan atau pengurangan). Itulah peristiwa yang membawa kepada pengislamanku.” (Tafsir al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat 9 surah al-Hijr).

Maha Suci Allah! Hebat sekali cara Allah menjaga kitab-Nya ini. Sungguh beruntung orang Islam yang berbangga, mendalami dan mengamalkan kitab yang sungguh istimewa ini. Jika kita masih jauh daripada kitab ini, berubahlah segera dan jangan hanya tahu berbangga dengan sesuatu yang jarang kita sentuh. Semoga Allah merahmati kita semua dengan iman yang sebenar kepada al-Quran.

----------------------

Al-Quran kitab agung yang tiada tandingan.  Sejak diturunkan kepada Nabi Muhammad,  al-Quran terpelihara keasliannya dan terselamat pengajarannya daripada sebarang perubahan, pindahan dan tokok tambah.  

Biarpun ada pihak cuba melakukan khianat terhadap al-Quran, namun usaha itu tidak berjaya.  Pindaan dan tokok tambah yang dilakukan segera disedari oleh umat Islam dan segera menghapuskan kepalsuan yang cuba dicipta oleh musuh Islam itu.

Kekuatan dan keagungan al-Quran tiada bandinganya.  Sesungguhnya, kandungan al-Quran tidak mampu dicipta oleh manusia.  Bahkan, tidak mungkin ada satu ayat ciptaan manusia yang menandingi mana-mana ayat al-Quran. 

Allah telah menegaskan betapa biarpun manusia berkumpul dan menggabungkan fikiran serta saling membantu, tidak mungkin manusia dapat melakukannya.   

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah, sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.” (Surah al-Isra, ayat 88).

Dalam al-Quran mengandungi pelbagai perkara meliputi semua kehendak dan keperluan manusia berkaitan kepentingan dunia dan akhirat.  Kandungan al-Quran boleh diringkaskan kepada empat perkara utama.

Pertamanya, berkaitan mengenai hukum ibadat sembahyang, puasa, zakat dan haji.  Keduanya, memperkatakan mengenai peraturan hidup yang perlu diamalkan oleh manusia  seperti mengenai peraturan jual beli, perkahwinan, budi pekerti, pergaulan jiran tetangga, tepati janji dan sebagainya.

Ketiganya ialah menceritakan tentang ilmu sains, perubatan, cakrawala, biologi, kimia dan geografi.  Manakala perkara keempat ialah mengenai sejarah dan tauladan hidup masyarakat terdahulu.

Sesungguhnya apa yang tercatat di dalam al-Quran adalah lengkap dan memberi manfaat yang besar kepada manusia sebagai panduan hidup.  Semua keperluan panduan hidup manusia terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anam ayat 38 bermaksud: "Tiadalah Kami meninggalkan sesuatu perkara pun dalam al-Quran."

Menariknya, perbahasan dan kajian terhadap kandungan al-Quran tidak akan selesai. Ini membuktikan kehebatan al-Quran Kalam Yang Maha Pencipta.  Pemikiran manusia tidak mampu memahami atau menafsirkannya perkataan demi perkataan atau ayat-ayatnya dengan sepenuhnya. 

Kehebatan kandungan al-Quran mendorong bukan Islam turut mengkajinya.  Semakin banyak penemuan sains berjaya dikaji, semakin jelas kebenaran al-Quran di sisi orang bukan Islam.  Ketika pakar sains merayakan kejayaan penemuan mereka, sebenarnya perkara itu telah tercatat di dalam al-Quran sejak lebih 1400 tahun lalu.

Ketepatan kandungan al-Quran berdasarkan kepada kejadian alam yang dibongkar oleh ahli sains, membuktikan al-Quran bukan ciptaan Nabi Muhammad.  Tidak mungkin bagi seorang yang buta huruf seperti Rasulullah dapat mencipta kandungan al-Quran yang mengandungi kenyataan-kenyataan berkaitan sains dan teknologi.

Bahkan, tidak munasabah untuk mengatakan manusia yang hidup lebih 1400 tahun mengetahui tentang penemuan sains yang memerlukan kajian dan penggunaan alatan canggih seperti yang terdapat pada masa sekarang.

Perkara ini tidak sukar diterima oleh orang beriman.  Allah Maha Pencipta.  Dialah mencipta semua makhluk di dunia ini.  Jadi, Dia dapat menceritakan dengan jelas bagaimana proses setiap kejadian dengan tepat.

Malah sebahagian kandungan al-Quran yang menyatakan mengenai kejadian alam, merupakan bukti kewujudan Allah dan mengesahkan kerasulan Nabi Muhammad. 

Firman Allah SWT menjelaskan bermaksud: “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar.  Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belum cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?” (Surah Fushshilat, ayat 53).

Pengkaji Barat yang selama ini bermegah dengan doktrin bahawa agama dan sains terpisah, terpaksa mengakui kebenaran al-Quran.  Agama Islam adalah panduan dan cara hidup.  Sebab itu, al-Quran memberikan gambaran menyeluruh berkaitan kehidupan manusia.

Disebabkan kandungan al-Quran tidak mampu dijelaskan sepenuhnya oleh sesiapa, maka ia memberi peluang untuk manusia sepanjang masa tidak putus-putus membongkar segala rahsia yang terkandung di dalamnya. 



No comments:

Post a Comment